Fuziah mahu pulihkan Wanita PKR ke landasan asal


Diyana Ibrahim

Fuziah Salleh diumumkan ketua baharu Wanita PKR tiga minggu lalu, ganti Haniza Mohamed Talha yang dipecat dari parti. – Gambar The Malaysian Insight, Afif Abd Halim, 5 Ogos, 2020.

SAYAP Wanita PKR sudah menyimpang jadi platform untuk kepentingan peribadi pemimpinnya sebelum ini, kata ketuanya yang baharu Fuziah Salleh, yang berhasrat mahu mengembalikan sayap itu ke landasan perjuangan asal.

Fuziah diumumkan sebagai ketua baharu Wanita PKR tiga minggu lalu, menggantikan Haniza Mohamed Talha yang dipecat dari parti. 

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Fuziah berkata masalah dalam sayap Wanita itu bukan hanya timbul semasa kepimpinan sebelumnya tetapi sudah berakar lama sebelum itu, semasa ia dipimpin oleh Zuraida Kamaruddin.

“Sejak meninggalkan sayap Wanita pada 2007, saya lihat ia tidak banyak berubah. 

“Saya melihat bagaimana Zuraida dan Haniza membawa amalan yang hanya mahukan jawatan saja.

“Semangat juang itu sudah tidak dilihat… untuk mendalami isu nasib wanita dan keluarga… idealisme perjuangan itu sudah lari,” katanya dalam wawancara di pejabatnya di Parlimen, semalam.

Haniza disahkan dipecat dari PKR pada hujung Jun selepas digantung dari parti sejak awal April kerana didakwa mengadakan pertemuan sulit dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan Zuraida, yang juga bekas naib presiden.

Azmin dan Zuraida sebelum itu dipecat dari PKR pada 24 Februari kerana menggerakkan “langkah Sheraton” yang membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan di Putrajaya dan beberapa negeri. 

Mereka juga sebelum itu berbulan-bulan berkrisis secara terbuka dengan presiden PKR Anwar Ibrahim.

Cabaran

Fuziah menepis tanggapan beliau tidak layak mengemudi sayap Wanita PKR kerana kalah kepada Haniza dalam pemilihan parti pada November 2018.

Katanya, beliau berpengalaman menjadi antara pemimpin utama sayap itu ketika peringkat awal penubuhan parti.

Fuziah adalah antara aktivis badan masyarakat berasaskan Islam yang menyertai gerakan politik selepas Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno pada September 1998, episod yang memulakan gerakan Reformasi.

Apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada April 1999, parti yang hari ini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah dilantik sebagai timbalan ketua wanitanya. 

Beliau juga mengetuai sayap Wanita PKR Pahang antara 2000 hingga 2007.

“Jadi nak kata tak layak tu, tak patut,” katanya.

Fuziah juga yakin beliau boleh mengalahkan Haniza sekiranya pemilihan parti pada masa itu berjalan dengan adil dan tidak  dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Saya sebenarnya tidak berminat untuk bertanding (dalam pemilihan parti pada 2018) tetapi ahli parti merayu kepada saya kerana mereka tengok sayap itu sudah lari dari landasan,” katanya.

Tidak terjejas

Sementara itu, Fuziah berkata Wanita PKR tidak terjejas dengan tindakan pemimpin dan ahli keluar parti susulan perubahan politik sejak  episod “Langkah Sheraton” pada hujung Februari lalu.

“Kita sudah buat audit, sayap wanita yang lumpuh seratus peratus ialah cabang Ampang,” katanya, merujuk cabang yang diketuai oleh Zuraida.

Zuraida adalah juga Ahli Parlimen Ampang manakala Haniza wakil rakyat Lembah Jaya, salah sebuah kawasan dewan undangan negeri dalam kawasan parlimen itu.

“Tetapi struktur ahli di akar umbi tidak terkesan. Audit seluruh negara mendapati ahli Wanita PKR masih utuh… cuma ketua dan timbalan tidak ada tetapi organisasi bergerak, tidak terjejas,” katanya.

Beliau juga mendakwa tidak sampai 100 orang pemimpin sayap wanita yang keluar parti dan hampir tidak melibatkan ahli di peringkat akar umbi.

“Tak sampai 100 orang pun yang keluar parti. Kita perhati juga tapi memang tak banyak  yang keluar sebenarnya. 

“Saya nampak ada muka lama yang kecewa dengan pimpinan Haniza dulu kini mula kembali aktif,” katanya.

Fuziah malah mendakwa sayap Wanita PKR menambah keahlian sebanyak 25,000 orang dalam tempoh setengah tahun ini.

“Kita dapat tarik ahli baru yang muda, aktivis, golongan profesional… yang sebelum ini tak terpanggil nak sertai politik tapi bila kita kekal dengan idealisme perjuangan parti mereka mula tunjuk minat,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata pihaknya sedang dalam proses melengkapkan semula struktur sayap wanita di semua negeri, yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

Katanya, beliau mengekalkan mereka yang menang pemilihan parti tetapi menggantikan mereka yang dilantik.

“Struktur wanita yang menang semua kita kekal tapi ketua wanita lantikan dahulu kita bubar semua. Kita dalam proses melantik yang baharu.

“Lapan dari 14 ketua wanita negeri sudah selesai proses lantikan, yang dibuat mengikut proses rundingan.

“Saya tak percaya kuasa veto seperti sebelum ini,” katanya. – 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen