FUZIAH Salleh dilantik sebagai ketua wanita PKR yang baharu menggantikan Haniza Mohamed Talha yang dipecat dari parti pada hujung bulan lepas.
Fuziah, yang juga Ahli Parlimen Kuantan, kalah kepada Haniza dalam pemilihan parti pada November 2018.
Pelantikan Fuziah dihebahkan melalui akaun Facebook parti malam ini.
“Tahniah buat saudari Fuziah Salleh yang telah dilantik sebagai Ketua Wanita Keadilan secara rasminya hari ini. Selamat bertugas,” kata hebahan mengiringi gambar Fuziah bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa exco sayap.
Hebahan PKR malam ini bagaimanapun tidak menyebut kedudukan timbalan ketua wanita selepas penyandangnya Dr Daroyah Alwi keluar parti awal bulan lepas, dengan alasan hilang kepercayaan kepada kepimpinan.
Sebelum dipecat, Haniza digantung dari parti pada awal April kerana didakwa mengadakan pertemuan sulit dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin.
Kedua-dua mereka dipecat dari PKR pada 24 Februari, selepas berbulan-bulan berkrisis dengan presiden Anwar Ibrahim.
Haniza menyifatkan penyingkirannya dari parti sebagai tindakan “balas dendam” terhadap ahli PKR yang dekat dengan Azmin.
Awal minggu ini, Haniza dipecat dari jawatan sebagai exco kerajaan negeri Selangor.
Beliau sebelum ini mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor. – 11 Julai, 2020.
Komen