Burukkan hakim kes Najib, polis ambil keterangan Ramesh Rao


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ramesh Rao disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

POLIS mengambil keterangan penyokong Najib Razak yang membuat dakwaan bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas perdana menteri minggu lalu mempunyai hubungan darah dengan Dr Mahathir Mohamad.

 Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Ramesh Rao selesai memberi keterangan pada 11.50 pagi tadi.

“Beliau memberi kerjasama baik sepanjang proses rakam keterangan dijalankan.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramesh disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tambahnya.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia itu hadir ke Bukit Aman pada jam 10.10 pagi.

Mior sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight polis menerima sekurang-kurangnya empat laporan berkenaan cubaan memburukkan badan kehakiman selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas semua tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Ghzali menjatuhkan ke atas Najib hukuman penjara 10 tahun bagi tiga tuduhan pecah amanah, penjara 10 tahun bagi 3 tuduhan mengubah wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan salah guna kuasa. Semua hukuman berjalan serentak.

Dalam penghakimannya, Nazlan antara lain berkata ada “banyak masalah” dengan keterangan Najib mengenai derma daripada putera raja Arab Saudi yang masuk ke akaun peribadinya.

Susulan keputusan itu, mesej tersebar di media sosial mendakwa Nazlan, 51, kononnya mempunyai pertalian darah dengan Dr Mahathir, dan sebab itulah beliau menjatuhkan hukuman sedemikian ke atas Najib.

Selain mengaitkan Nazlan dengan Dr Mahathir, beberapa tuduhan di media sosial juga cuba mengaitkan hakim itu dengan DAP.

Nazlan adalah hakim yang membebas dan melepaskan Adun Seberang Jaya P Gunasekaran daripada DAP berhubung dua tuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Nazlan ketika itu membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah mereka mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menghentikan prosiding jenayah terhadap tertuduh.

Malam tadi, seminggu selepas disabitkan tuduhan, Najib melalui satu rakaman video mendakwa beliau dihukum oleh mahkamah walaupun wang yang terlibat digunakannya untuk membantu anak yatim dan mereka yang memerlukan. – 4 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen