Polis siasat cubaan remehkan mahkamah selepas Najib didapati bersalah


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

POLIS menyiasat percubaan untuk memburukkan kredibiliti badan kehakiman selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Siasatan dibuat selepas pihak polis menerima sekurang-kurangnya empat laporan berhubung beberapa kenyataan yang tersebar di media sosial, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathash Wahid.

“Kita ada menerima beberapa laporan polis… setakat ini empat laporan.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali antara lain berkata ada “banyak masalah” dengan keterangan Najib mengenai derma daripada putera raja Arab Saudi yang masuk ke akaun peribadinya.

Mohd Nazlan menjatuhkan ke atas Najib hukuman penjara 10 tahun bagi tiga tuduhan pecah amanah, penjara 10 tahun bagi 3 tuduhan mengubah wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan salah guna kuasa. Semua hukuman berjalan serentak.

Susulan keputusan itu, mesej tersebar di media sosial mendakwa Mohd Nazlan, 51, kononnya mempunyai pertalian darah dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dan sebab itulah beliau menjatuhkan hukuman sedemikian ke atas Najib.

Satu laporan polis yang dilihat oleh The Malaysian Insight memetik hantaran di Twitter oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao pada jam 12.53 tengah hari pada Selasa lalu.

Hantarannya itu diulang ciap sehingga lebih 300 kali.

“Ciapan itu bertujuan mencemarkan nama baik dan integriti hakim yang memutuskan kes Najib Razak serta untuk menjatuhkan martabat sistem perundangan dan institusi kehakiman negara,” kata seorang peniaga dalam laporannya yang dibuat di Balai Polis Taiping, semalam (Rabu, 29 Julai).

Selain mengaitkan Nazlan dengan Dr Mahathir, beberapa tuduhan di media sosial juga cuba mengaitkan hakim itu dengan DAP.

Mohd Nazlan adalah hakim yang membebas dan melepaskan Adun Seberang Jaya P Gunasekaran dari DAP berhubung dua tuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mohd Nazlan ketika itu membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah mereka mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menghentikan prosiding jenayah terhadap tertuduh.

Najib hari ini melalui peguamnya memfailkan tiga notis rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya. – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen