SEORANG lagi pemimpin Umno mengingatkan Bersatu Sabah jangan terburu-buru umum hasrat bertanding di majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menempelak kenyataan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor awal hari ini bahawa parti itu bersedia untuk bertanding di 45 kerusi DUN pada PRN Sabah.
“Dia dengan parti dia, kita dengan parti kita. Ujud Bersatu di Sabah kerana kumpulan pembelot.
“Umno akan terus dapat sokongan akar umbi,” tulis Khaled di Facebook.
Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mengulas isu sama berkata Bersatu Sabah usah bermimpi, sebaliknya perlu berunding dengan Umno dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Hari ini ketua PPBM (Bersatu) Sabah berkata akan bertanding 45 kerusi dari 73 DUN yang bakal dipertandingkan pada Pilihanraya Negeri Sabah kelak.
“Dua perkataan: Jangan mimpi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Hajiji dalam satu kenyataan berkata Bersatu akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan yakin boleh memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN Sabah.
Hajiji juga berkata Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional, Umno dan Barisan Nasional bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah hari ini umum sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan pada PRN. – 1 Ogos, 2020.
Komen