BERSATU usah mimpi bertanding di majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor bahawa parti itu bersedia untuk bertanding di 45 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Hari ini ketua PPBM Sabah berkata akan bertanding 45 kerusi dari 73 DUN yang bakal dipertandingkan pada Pilihanraya Negeri Sabah kelak.
“Dua perkataan: Jangan mimpi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Shahril berkata Umno Sabah mempunyai auntonomi menentukan calon dan kerusi yang akan dipertandingkan, dan Bersatu perlu berunding jika mahu bersahabat dengan Umno.
“Kalau nak bersahabat dengan Umno, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding.
“Umno Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.
“Tetapi kalau sebelum berunding pun Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” jelasnya.
Menurut Shahril Umno sudah tentu ada cita-cita berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, tetapi cita-cita itu disulami kebijaksanaan dengan mengambil langkah menghormati proses perundingan.
Beliau menasihatkan Bersatu agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sehingga ke akar umbi, dan tidak terhad kepada Sabah sahaja.
Shahril juga yakin Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Umno negeri bijak menguruskan landskap terbaru politik di negeri itu.
Terdahulu, Hajiji dalam satu kenyataan berkata Bersatu akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan yakin boleh memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN Sabah.
Hajiji juga berkata Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional, Umno dan Barisan Nasional bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang. – 1 Ogos, 2020.
Komen