Lanjutan moratorium tak cukup bantu golongan bersasar, kata Anwar


The Malaysian Insight

PELANJUTAN moratorium pinjaman bersasar Putrajaya tidak cukup untuk membantu pekerja di sektor tidak formal, kata Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata Putrajaya mengumumkan bahawa pelanjutan itu menyasarkan mereka yang berada di sektor tidak formal yang kehilangan kerja dan mengalami pengurangan gaji.

“Langkah yang diumumkan semalam tidak memastikan manfaat akan diterima oleh yang bekerja sendiri dan di dalam sektor tidak rasmi, terutama yang miskin bandar dan yang di desa.

“Kita telah menggariskan bahawa hampir 20% dari tenaga kerja di Malaysia adalah bekerja sendiri.

“Semasa PKP kumpulan ini benar-benar terkesan dengan kehilangan sumber pendapatan dengan lebih 90% mengalami pengurangan mendadak dalam pendapatan, sekurang-kurangnya 50% kehilangan terus pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kerajaan Perikatan Nasional semalam mengumumkan bahawa moratorium akan dilanjutkan sehingga September selepas kumpulan pekerja dan perniagaan mengadu hilang pekerjaan pada Oktober.

Bagaimanapun moratorium kali ini hanya disasarkan dan diberikan kepada mereka yang memohonnya dari bank masing-masing.

Moratorium akan dilanjutkan tiga bulan lagi untuk mereka yang hilang pekerjaan tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata mereka yang masih bekerja tetapi telah dipotong gaji akan dikurangkan pembayaran pinjaman bulanan mereka.

Sebagai contoh ansuran bulanan untuk pinjaman akan dikurangkan kepada kadar sejajar dengan pengurangan gaji, kata Muhyiddin.

Bantuan ini akan dikuatkuasa sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan diberikan bergantung kepada pendapatan semasa individu.

Dalam kenyataannya Anwar berkata bahawa moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman adalah bergantung pada permohonan serta kelulusan yang akan dilaksanakan oleh bank, yang disarankan oleh kesatuan sekerja dan kumpulan pengguna yang mungkin bermasalah.

“Kelonggaran moratorium dan pembayaran pinjaman bergantung pada proses permohonan dan kelulusan yang dilaksanakan oleh bank.

“Apa yang diumumkan itu tidak akan dijamin secara automatik dan bank pula akan menggunakan budi bicara mereka dalam menentukan siapa layak atau tidak layak untuk penangguhan pinjaman,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan memberi keutamaan dalam membangunkan penyelesaian yang tuntas kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan jurang pendapatan.

Pentadbiran Perikatan mesti mewujudkan program keselamatan sosial yang mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat yang miskin sementara ekonomi untuk pulih. – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen