Perikatan dalam bahaya selepas keputusan SRC International


Sheridan Mahavera Chan Kok Leong

Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk meluluskan undang-undang, termasuk rang undang-undang belanjawan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan bahaya susulan keputusan kes SRC International kelmarin berikutan blok terbesar gabungan itu, Umno kini mempertimbangkan untuk tarik diri, kata sumber parti.

Tandanya dapat dilihat menerusi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang memberikan bayangan bahawa Umno menilai semula ikatannya dengan kerajaan PN selepas bekas presidennya, Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah dalam kes itu.

Malah, jika parti itu kekal dalam PN sekalipun, Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, akan masih boleh merosakkan imej kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu, kata sumber Umno.

Najib, yang masih ada pengaruh dalam Umno, boleh menarik keluar sejumlah ahli Parlimen yang setia padanya untuk menarik semula sokongan untuk pentadbiran Muhyiddin pada pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat pada November depan.

Dengan hanya lima ahli Parlimen saja mengikutnya, Najib boleh menjejaskan rang undang-undang belanjawan pentadbiran Muhyiddin, maka menjejaskan kerajaan untuk beroperasi tahun berikutnya, kata sumber Umno itu.

“Ini akan menamatkan riwayat kerajaan PN, tanpa satu belanjawan anda tidak boleh beroperasi,” kata sumber yang enggan didedahkan namanya.

Seorang lagi sumber berkata Zahid akan mengadakan mesyuarat dengan majlis tertinggi parti untuk membincangkan kesan daripada keputusan mahkamah itu dan keberadaan Umno dalam PN.

Beberapa penyokong Najib Razak menangis di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika keputusan kes SRC International mendapati bekas perdana menteri itu bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

Pilihan untuk keluar daripada PN dan mencetuskan pilihan raya umum kini mendapat sokongan kuat daripada sebahagian pihak dalam parti itu, kata sumber.

Sumber percaya Umno patut mengambil pilihan itu, tarik balik sekutunya, MIC dan MCA daripada Barisan Nasional, dan PAS, di mana Umno dan parti Islam itu mempunyai pakatan berasingan iaitu Muafakat Nasional. 

“Bersatu akan hanya sebagai parti tambahan jika pemimpinnya boleh bersetuju dengan peruntukan kerusi. Jika itu gagal, Muafakat Nasional akan teruskan tanpa Bersatu,” kata pemimpin di negeri utara itu.

Mesyuarat majlis tertinggi juga akan membincangkan tentang kemungkinan Najib bertindak sendiri dengan sebahagian ahli Parlimen dan bagaimana respons mereka nanti. -

Pada masa ini, Muhyiddin mempunyai sokongan 113 daripada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat sementara pembangkang dengan nama “Pakatan Harapan Plus”  ada 109 undi.

Umno, yang bersekutu dengan Bersatu, parti Muhyiddin, menyumbangkan 29 kerusi kepada PN, jumlah terbesar bagi parti tunggal.

Kerajaan memerlukan majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk meluluskan undang-undang, termasuk rang undang-undang belanjawan. – 30 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen