Bank mungkin jadi halangan lanjutan moratorium


Sheridan Mahavera

Lanjutan moratorium memerlukan peminjam memohon secara terus kepada bank mulai 7 Ogos ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

PERSATUAN dan kumpulan pengguna menyambut baik lanjutan moratorium pinjaman bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, namun memberi amaran pelaksanaannya mungkin berdepan halangan.

Lanjutan moratorium yang asalnya tamat September memerlukan peminjam memohon secara terus kepada bank mulai 7 Ogos, kata mereka.

Peraturan ketat proses dokumentasi mungkin akan menyebabkan permohonan banyak isi rumah yang layak ditolak, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

MTUC menggesa lanjutan moratorium pinjaman bank dilakukan secara automatik bagi isu rumah yang mendapat bantuan kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Prihatin.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut senada dengan kebimbangan yang dibangitkan MTUC kerana bank kebiasannya ‘legalistik’ terhadap peminjam.

Ini boleh menyebabkan permohonan yang layak mendapat lanjutan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria tertentu, kata Setiausaha Agung Fomca Paul Selvaraj.

“Setiap keluarga berbeza. Ada yang cuma seorang sahaja ahli keluarga yang mencari nafkah, dan kalau gajinya dipotong, akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Tambah beliau sekiranya bank memilih hanya mengurangkan ansuran pinjaman berdasarkan gaji yang dipotong, pencari nafkah ini masih sukar untuk menyara keluarga kerana perbelanjaan lain mungkin akan meningkat.

“Oleh itu bank pusat perlu aktif mainkan peranan dalam pelaksanaan lanjutan moratorium supaya jika permohonan pekerja tidak berjaya mereka boleh merayu kepada Bank Negara.

“Bank tidak boleh lulus moratorium hanya dari sudut undang-undang. Ia mesti bergantung kepada budi bicara dan peraturan supaya kebajikan pengguna dilindungi.”

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi umum kerajaan melanjutkan lagi moratorium khusus untuk golongan bersasar yang terjejas pendapatan mereka sejak penularan pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar rintihan rakyat dan berbincang dengan menteri kewangan dan Bank Negara.

Penangguhan bayaran balik pinjaman kali ini lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan permohonan perlu dibuat secara terus kepada bank.

Ia akan dilanjutkan selama tiga bulan bagi mereka yang hilang pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan.

“Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” kata Muhyiddin.

Lanjutan enam bulan pula diberikan kepada mereka yang masih bekerja tetapi gaji terjejas atau berkurangan akibat pandemik Covid-19, kata Muhyiddin.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. 

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” tambah beliau.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata Putrajaya perlu secara automatik melanjutkan moratorium untuk sekurang-kurangnya enam bulan bagi semua keluarga B40 dan M40.

“Bagi pekerja yang dipotong gaji memerlukan lanjutan moratorium, sama seperti mereka yang hilang pekerjaan.” – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen