Ahli Umno berdiri teguh di belakang Najib


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam selepas dijatuhkan hukuman bersalah dalam perbicaraan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Julai, 2020.

PERJUANGAN belum selesai bagi ahli Umno yang menyokong Najib Razak ketika parti itu berdiri teguh di belakang bekas presiden yang bakal berdepan fasa berikutnya dalam kes SRC International.

Pemimpin dan ahli akar umbi Umno berkata walaupun mereka menerima keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mendapati Najib bersalah, mereka berharap kebenaran akan terserlah suatu hari nanti.

Mereka menegaskan Najib masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan berharap mahkamah yang lebih tinggi akan menyebelahi beliau seperti kes jenayahnya yang lalu.

Najib semalam dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah kerana menyalahgunakan kuasanya ketika menerima dana RM42 juta daripada SRC International pada 2014 dan 2015.

Beliau juga dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kesalahan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman tersebut dijalankan secara serentak. Najib, bagaimanapun, dibenarkan menangguhkan hukumannya itu.

Najib adalah bekas perdana menteri pertama yang didakwa dan disabitkan kesalahan di Malaysia.

Beberapa ahli Umno memberitahu The Malaysian Insight, keputusan itu adalah “tafsiran” Nazlan yang mungkin tidak dikongsi dengan hakim di Mahkamah Rayuan.

“Ini adalah tafsiran daripada seorang hakim dan keputusan itu berdasarkan tafsirannya. Kita perlu menunggu apa yang dikatakan para hakim di Mahkamah Rayuan,” kata Ketua Bahagian Umno Pokok Sena, Said Ali Syed Rastan.

Pemimpin akar umbi Umno Kedah itu berkata keputusan berkenaan juga menunjukkan badan kehakiman bebas daripada campur tangan dan meminta masyarakat menghormati kebebasan institusi tersebut.

“Dalam kes hari ini kita dapat lihat tiada gangguan terhadap badan kehakiman negara. Mahkamah bebas buat keputusan dan kita harap kes lain juga berjalan dengan proses seperti.”

Timbalan Ketua Umno Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kes Najib menunjukkan risiko yang diambil oleh ahli politik dalam kerjaya mereka.

“Ini adalah akibat menjadi seorang ahli politik apabila anda melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan parti tetapi disalahtafsirkan sebagai sesuatu yang lain,” kata Sharkar yang juga exco negeri bagi pelancongan, alam sekitar dan perladangan.

“Tetapi kami menerima keputusan mahkamah dan berharap mahkamah lebih tinggi akan melihat semula keputusan tersebut.”

“Ahli Umno mesti bertenang dan kami akan meneruskan proses untuk membawa keadilan bagi Najib. Kebenaran akan terserlah,” kata Sharkar.

Ketua Umno Cawangan Shah Alam, Kalam Azad Abu Bakar berkata ahli akan terus menyokong Najib ketika beliau mengemukakan rayuan.

“Kita bersama berdoa dan beri sokongan kepada Najib. Perjalanananya masih panjang lagi dan ada tindakan mahkamh seterusnya. 

“Proses keadilan masih berjalan dan saya bersama menyokong perjuangan beliau,” kata Kalam Azad, yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk menunjukkan sokongannya.

Penyokong Najib Razak di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, yang hadir semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Julai, 2020.

Umno akan terkesan

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhamad Yusoff Mohd Noor terkejut apabila mengetahui keputusan tersebut kerana daripada pemerhatiannya, pihak pendakwaan kekurangan bukti.

“Saya terkejut dengan keputusan itu kerana daripada perbicaraan, bukti nampak seperti tidak cukup. Akhirnya begitu keputusannya. 

“Bagi saya, yang bersalah adalah 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan Low Teck Jho tetapi kenapa mereka tidak dipanggil. Saya gesa rayuan semula bagi keputusan ini, ” kata Adun Sungai Dua itu.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Jefriddin Atan berkata Najib masih berpeluang membersihkan namanya melalui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, sambil menambah caranya menangani kes itu lebih terhormat berbanding ahli politik dalam Pakatan Harapan (PH).

“Umno lebih terhormat, tidak tarik semula kes yang dibicarakan seperti pimpinan PH. Kes yang sudah separuh disiasat terus dihentikan. Itu contoh tidak baik,” kata Jefriddin.

Jefriddin berkata, contohnya ialah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang dimulakan semula selepas kerajaan Perikatan Nasional menggulingkan PH.

Ada juga berpendapat keputusan itu akan mempengaruhi Umno dan tahap sokongannya dalam masyarakat memandangkan ini adalah salah satu kes paling berprofil tinggi dalam sejarah negara.

“Akan ada kesan terhadap Umno kerana orang melihat Najib terbukti bersalah dan beliau ada kaitan dengan Umno,” kata Muhamad Yusoff dari Tasek Gelugor.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, bagaimanapun, yakin keputusan itu dapat mengakhiri persepsi yang pemimpin Umno dan Barisan Nasional terlepas apabila dituduh melakukan rasuah.

“Ini masalah BN dan Umno selama berdekad. Persepsi yang pemimpin Umno semuanya korup. Bukan sahaja Najib, tetapi semua,” kata bekas ahli Parlimen Pulai itu.

“Ini sebab prestasi kita menurun daripada satu PRU ke PRU. Justeru, dengan keputusan mahkamah ini, persepsi sama ada orang Umno, BN yang buat salah selepas dibawa ke mahkamah akan dihukum. Ini menunjukkan tiada siapa terlepas, walaupun bekas perdana menteri.

“Saya berharap persepsi rakyat kepada Umno dan BN akan berubah.” – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen