Kes aktif Covid-19 lepasi 200 dengan 39 kes baharu 


Aminah Farid

Jumlah kes aktif Covid-19 melepasi 200 manakala 39 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

MALAYSIA melaporkan 39 kes baharu Covid-19 dan dua kluster baharu hari ini, menjadikan jumlah kes aktif meningkat kepada 212.

Ini merupakan jumlah kes tertinggi yang direkodkan sejak 15 Jun, apabila 41 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 39 kes baharu itu, 28 merupakan penularan tempatan dan 11 kes import.

Penularan tempatan hari ini melibatkan 22 rakyat Malaysia dan enam warga asing.

Jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kini adalah 8,943.

Sementara itu, dua kluster baharu yang dikenal pasti dikesan di Kedah dan Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lalu, enam pesakit didiscaj daripada hospital menjadikan jumlah kes pulih 8,607.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan dan jumlah kematian kekal pada 124.

Sarawak menyaksikan jumlah kes penularan tempatan tertinggi iaitu 21.

Negeri bumi kenyalang itu merekodkan lima kluster Sentosa, Syarikat Kejuruteraan Kuching, Satok, Mambong dan PUI Melbourne.

11 kes import terdiri daripada empat rakyat Malaysia dan tujuh warga asing yang disahkan positif Covid-19.

Mereka memasuki negeri itu dari Arab Saudi, Ireland, Korea Selatan, India, Rusia, Amerika Syarikat, UK dan Filipina.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun berlaku peningkatan jumlah kes baharu, hanya seorang pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).– 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen