Jika tak suka Dr Mahathir, siapa patut jadi calon PM?


Wan Hamidi Hamid

BERSEMBANG soal calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) sekadar menjadi selingan atau alihan daripada isu-isu sebenar. Isu siapa pemimpin negara sentiasa panas dan penuh emosi.

Apabila bertikam lidah tentang hal ini, kita melupakan seketika tekanan hidup seharian, harga barangan dan perkhidmatan yang semakin menjadi mahal, nilai ringgit yang merudum, bil-bil bulanan yang bertambah, pendapatan keluarga yang semakin merosot, dan masa depan negara yang kabur dan kelam.

Namun persoalan siapa perdana menteri baru tidak dapat dielakkan. Sama ada sengaja diangkat oleh media massa atau memang ia gosip hangat politik, ia tetap menjadi buah mulut di warung, kopitiam dan coffee house.

Masalah dengan Mahathir

Ada yang geli-geleman apabila membaca spekulasi tentang Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Ismail yang masing-masing bakal menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri apabila PH menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada yang marah kerana memang benci dengan Dr Mahathir sejak beliau memimpin negara sepanjang 1981 – 2003 yang mereka sifatkan sebagai diktator. Bagi golongan ini, bekas perdana menteri itu merupakan perosak demokrasi Malaysia.

Ada juga yang tidak selesa dengan usia Dr Mahathir yang sudah menjangkau 92 tahun manakala Wan Azizah, 65, pula dilihat tidak tegas, terutamanya apabila beliau sendiri menjadi mangsa permainan politik dalaman PKR sewaktu muslihat Langkah Kajang di Selangor pada 2014.

Di kalangan penyokong PH, kehadiran Dr Mahathir sebagai tokoh veteran untuk membantu mendapatkan sokongan orang Melayu kepada barisan pembangkang sudah dianggap mencukupi.

Tetapi untuk meletakkannya sebagai perdana menteri, mereka tidak senang dengan keadaan itu, terutama golongan yang bermati-matian melawan regimnya pada suatu ketika dahulu.

Bagi penyokong Anwar Ibrahim, Dr Mahathir merupakan pemimpin kejam yang memecat dan memenjarakan idola politik mereka pada 1998. Bagi yang lain pula, Dr Mahathir merupakan pemimpin kuku besi yang mendalangi Operasi Lalang serta pelbagai kekangan terhadap kebebasan rakyat dan hak-hak demokrasi.

Peranan Dr Mahathir

Namun, hari ini PH sedar bahawa kekuatan PKR, Amanah dan DAP sahaja tidak cukup untuk menumbangkan Perdana Menteri Najib Razak dan regim Umno-BN. Ketiga-tiga parti itu kekurangan tenaga dan daya pujuk untuk menarik sokongan majoriti orang Melayu. Ya, politik negara masih berkisar tentang soal kaum.

Segala-galanya diukur dari sudut kaum, dan kini ditambah pula asam-garam agama. Yang dimaksudkan dengan elemen politik agama di sini adalah Islam yang dipopularkan dalam bentuk luaran serta bersifat konservatif dan ia menghadkan kebebasan berfikir serta bersuara.

Tambahan pula parti agama PAS yang tidak lagi bersama dengan pakatan pembangkang kini semakin intim dengan Umno. Dengan itu PH, sama ada suka atau tidak, terpaksa menerima kehadiran Dr Mahathir bersama partinya, Bersatu.

Atas peranan Dr Mahathir itu, ramai juga orang Melayu beralih daripada Umno kepada Bersatu. Ketokohan bekas presiden Umno itu masih dihormati dan dipuja sesetengah kalangan Melayu.

Dengan itu, ada tanda-tanda kemenangan PH. Hanya peralihan undi Melayu daripada Umno-BN kepada PH dapat membolehkan kelahiran sebuah kerajaan persekutuan yang baru.

Namun, itu cuma tanda-tanda sahaja. Ia bukan sesuatu yang mudah dicapai.

Selain golongan yang sememangnya membenci Dr Mahathir sejak zaman-berzaman, generasi muda juga dikatakan tidak gemar dengan kehadiran tokoh yang tua itu.

Walaupun ramai orang muda, terutama yang lahir pada akhir dekad sebelum alaf baru serta selepas itu tidak begitu mengenali Dr Mahathir, mereka tetap gundah-gulana dengan usia yang begitu lanjut untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Mereka mahu pemimpin yang lebih muda untuk menerajui negara. Mereka mahu pimpinan yang boleh mewakili kepentingan dan keperluan generasi muda, termasuk dari segi pendidikan, pekerjaan, kerjaya, seni budaya dan pelbagai bidang yang menjadi aspirasi mereka.

Cuma dalam keluh-kesah itu, golongan muda serta kumpulan yang membenci Dr Mahathir agak kelu lidah mereka apabila diminta mengemukakan calon-calon alternatif untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Calon-calon alternatif

Jika bukan Dr Mahathir, adakah ia Anwar? Sedangkan Anwar masih meringkuk di dalam penjara atas keputusan yang dibuat sewaktu pentadbiran Najib.

Adakah bakal perdana menteri adalah Wan Azizah yang merupakan Presiden PKR sedangkan spekulasi hanya berani meletakkan beliau sebagai timbalan sahaja?

Bagaimana pula dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini berusia 70 tahun atau Presiden Amanah Mohamad Sabu yang berumur 63 tahun?

Atau beranikah rakyat membuat kejutan dengan menerima Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyambut hari lahir beliau yang ke-55 hari ini sebagai perdana menteri?

Jika nama-nama ini tidak sesuai kerana usia mereka atau kerana tidak berani melanggar konvensyen politik kaum, relakah diterima nama-nama pimpinan pelapis PH sebagai perdana menteri?

Bagaimana dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, 53, atau Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, 56, atau Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, 53, atau Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh, 44?

Atau mungkin perlu dilihat nama bakal perdana menteri dari luar PH seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang, 70, atau Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia Abdul Kadir Sheikh Fadzir, 78? Atau mungkin elok dipertimbangkan nama Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Mohd Nasir Hashim, 71?

Bagaimana pula dengan calon dari Sabah, Presiden Warisan Sabah Shafie Apdal, 60, atau pemimpin PKR Sarawak Baru Bian, 59? Dan selain Wan Azizah, daripada 16 juta orang atau separuh jumlah penduduk Malaysia, siapa pula tokoh-tokoh wanita yang layak menjadi perdana menteri?

Atau ada mana-mana pemimpin NGO atau kumpulan anak muda yang mahu menawarkan diri untuk bertanding, dan siapa tahu, boleh menjadi perdana menteri yang kita semua nanti-nantikan?

Yang jelas, sukar untuk mendapatkan satu nama popular yang layak, berwibawa dan boleh dipercayai untuk dipersetujui majoriti rakyat. Setiap seorang daripada kita mempunyai citarasa tersendiri yang berbeza dengan pilihan orang lain.

Dilema dan harapan

Inilah dilema yang menjalar di benak setiap rakyat Malaysia yang mahukan peurbahan, mahukan kerajaan baru tetapi tidak rela melihat Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

Memang mudah untuk berkata “ya” atau “tidak” tetapi tidak semudah itu untuk mengemukakan alternatif yang perlu dipertahankan dengan hujah-hujah bernas serta mendapat sokongan popular dan undi majoriti.

Masyarakat Malaysia bersifat konservatif. Untuk menuju ke arah demokrasi dan kebebasan yang diterima ramai, ia memerlukan proses peralihan.

Sekadar luahan rasa segelintir manusia yang menganggap diri revolusioner, progresif atau liberal tidak akan mampu mempengaruhi minda masyarakat konservatif yang masih terikat dengan amalan politik kaum.

Sementara kita bertekak tentang siapa perdana menteri selepas PRU14, kita perlu akur bahawa kerajaan yang baru perlu mengatasi gejala rasuah, salahguna kuasa dan beban hutang negara. Kerajaan baru mesti memulihkan ekonomi, mengimbang kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kita perlu satu usaha tegas untuk merungkai masalah politik rasis yang semakin parah yang merenggangkan hubungan antara kaum dan agama. Kita perlu kepada kebebasan berfikir dan bersuara tanpa ancaman undang-undang zalim. Kita perlukan solidariti semua pihak untuk membuka lembaran baru.

Dalam sistem yang ada hari ini, selepas PRU14 nanti, bakal perdana menteri yang merupakan seorang ahli Parlimen akan ditentukan oleh parti atau gabungan parti yang memperolehi majoriti kerusi Dewan Rakyat.

Selain daripada itu, soal siapa perdana menteri hanya sekadar gosip politik yang tak berkesudahan. – 8 Disember, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dlm pembangkang takde seorang pun pemimpin yg layak mnjadi PM..sebab semua pemimpin yg ada semuanya dgn agenda peribadi saja..bknnya mahu bekerja utk rakyat..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • "……Kita perlu satu usaha tegas untuk merungkai masalah politik rasis yang semakin parah yang merenggangkan hubungan antara kaum dan agama. Kita perlu kepada kebebasan berfikir dan bersuara tanpa ancaman undang-undang zalim. Kita perlukan solidariti semua pihak untuk membuka lembaran baru.……"

    Tidak seorang pun dapat janji keadaan yg diingini atas akan jadi sebab politik kaum dan agama akan berterusan sebab lembaga negara tetap dipergunakan olih ahli2 politik utk mencapai matlamat mengekalkan kedudukan sendiri. Kuasa politik di ruang atas mesti ada had. Kita harap kerajaan baru akan usaha menjadikan kuatkuasa kerajaan lebih bertanggung jawab dan tidak melampau salahguna kuasa.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan