Sekolah patuh SOP, tapi bimbang masalah di luar pagar


Sheridan Mahavera

Ini minggu pertama selepas semua sekolah kerajaan dan swasta dibenarkan dibuka semula selepas tidak ke sekolah sepanjang pelaksanaan PKP sejak 18 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

PERATURAN baharu yang ditetapkan untuk mencegah jangkitan koronavirus di sekolah setakat ini dapat dilaksanakan, hampir seminggu selepas pelajar semua peringkat umur akhirnya dibenarkan kembali ke kelas, kata guru dan ibu bapa.

Ibu bapa juga memuji usaha pentadbir sekolah dan guru dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan untuk sekolah yang ditetapkan sejak awal Jun.

Kira-kira dua minggu lalu di Kelantan, seorang guru terjatuh dari tingkat satu sebuah sekolah ketika memasang sinki untuk kelas di tingkat lebih tinggi, kata kumpulan ibu bapa dan guru Terengganu.

“Ini menunjukkan guru merisikokan nyawa mereka untuk memastikan kanak-kanak kekal selamat ketika di sekolah,” kata Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa-Masyarakat Kebangsaan (KPIBKK) Terengganu, Romeli Ismail..

SOP itu bertujuan untuk meminimumkan kontak fizikal di sekolah dan meningkatkan kebersihan diri sementara memastikan murid dapat kembali kepada pembelajaran secara berdepan selepas hampir empat bulan belajar menerusi online.

Guru sekolah rendah dilihat sangat teliti dalam memantau kanak-kanak di bawah usia sembilan tahun kerana bimbang mereka tidak mematuhi SOP ketika berinteraksi bersama rakan.

Bagaimanapun, persatuan guru berkata kebimbangan sekarang ialah apa yang berlaku di luar pagar sekolah selepas sesi persekolahan tamat.

“Tanggungjawab pentadbir dan guru berakhir di luar pagar sekolah. Selepas itu ia tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Amiruddin Awang.

“Bila ibu bapa atau bas sekolah tiba lewat, kanak-kanak yang menunggu akan mula lupa tentang penjarakan sosial dan mula bermain dan bercakap sesama mereka,” kata Amiruddin kepada The Malaysian Insight.

“Masyarakat perlu ada cara untuk memastika kanak-kanak patuh SOP di luar sekolah kerana beban itu tidak boleh di bahu guru dan pentadbir saja yang sudah pun memegang banyak tugas,” katanya.

Persatuan guru berkata murid sekolah rendah akan mula lupa tentang penjarakan sosial dan mula bermain dan bercakap sesama mereka ketika tunggu ibu bapa atau bas sekolah di luar pagar sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

Hari ini adalah minggu pertama selepas semua sekolah kerajaan dan swasta dibenarkan dibuka semula selepas mereka tidak ke sekolah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

PKP bermula pada 18 Mac dikuatkuasakan bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di mana virus itu setakat ini mencatatkan 8,904 kes jangkitan dengan 124 kematian.

Kira-kira setengah juta pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam atas diberi keutamaan untuk kembali ke kelas pada 24 Jun memandangkan mereka akan menduduki peperiksaan penting pada Mac.

Ia diikuti dengan pelajar sekolah menengah selebihnya dari tingkatan satu hingga empat pada 15 Julai dan murid sekolah rendah kembali ke sekola pada 22 Julai.

SOP ditetapkan termasuk:

* murid dan semua staf perlu disaring suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.

* meja perlu disusun dengan jarak 1 meter dan kelas terhad kepada 20 murid.

* masa rehat secara berperingkat dan murid makan di kelas. Wakil pelajar dari setiap kelas akan membeli makanan dari kantin dan membawanya ke kelas.

* cecair pembasmi kuman diletakkan di setiap kelas, di mana kelas perlu menjalani proses sanitasi pada akhir sesi pembelajaran setiap hari.

* semua tugasan berkumpulan, perhimpunan dan aktiviti kokurilum tidak dibenarkan.

Sebagai tambahan, sekolah juga perlu memasang sinki di setiap kelas supaya murid boleh memasuh tangan secara kerap tanpa perlu ke tandas.

“Pada awalnya, kami bimbang untuk hantar dua anak perempuan kami kembali ke sekolah. Tetapi kami tidak boleh biar mereka di rumah selamanya dan perlu sambung pembelajaran dengan sempurna,” kata seorang ibu, Jennifer Bala dari Shah Alam.

“Tetapi setakat ini, daripada apa yang anak beritahu, sekolah sangat ketat mematuhi SOP,” katanya yang menghantar anak ke SMK Subang Utama.

Kerana bimbang murid sekolah rendah yang lebih kecil tidak mematuhi penjarakan sosial, sesetengah sekolah mengarahkan guru menghantar murid ke kelas selepas suhu mereka diperiksa, kata Romeli.

“Ibu bapa bimbang tentang anak mereka di sekolah rendah dan mereka tunggu di luar untuk lihat mereka masuk ke kelas.

“Tetapi selepas lihat bagaimana ketatnya guru menguatkuasakan SOP, kebimbangan mereka berkurangan,” katanya.

Guru juga pada awalnya bimbang sekolah dengan populasi murid yang besar dan memang sedia ada sesi pagi dan petang tidak akan cukup ruang sebaik saja saiz kelas dikecilkan mengikut SOP.

Sekolah berkenaan dibenarkan menggilirkan kumpulan kelas mereka di mana tingkatan satu dan empat akan bergilir hadir ke sekolah sementara tingkatan lima dan enam dibenarkan datang setiap hari, seperti biasa.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan berkata daripada lebih 10,200 sekolah di negara ini, hanya 52 sekolah menggunakan sistem bergilir sementara yang lain menjalankan pembelajaran satu atau dua sesi.

“Guru dan pelajar mematuhi SOP. Namun, waktu selepas sekolah yang kita bimbangkan kerana amaran keselamatan hilang apabila di luar pagar sekolah,” katanya. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen