HAMZAH Badarun tidak ada simpanan langsung ketika Malaysia diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dan kalau bukan kerana bantuan kerajaan, beliau dan isterinya mungkin kebulur.
“Semua duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Persaraan) saya habis diguna untuk pendidikan anak-anak,” kata penjual cendol dan ais kacang berusia 60 tahun di Permatang Pauh, Pulau Pinang itu.
“Saya tiada simpanan langsung. Selama tiga bulan saya hanya bergantung kepada bantuan kerajaan persekutuan dan negeri, serta Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Permatang Pauh.
“Saya juga terpaksa minta tolong anak-anak,” ceritanya kepada The Malaysian Insight tentang pengalamannya sepanjang lapan minggu PKP bermula 18 Mac sehingga 12 Mei lalu.
Ura-ura tentang adanya PKP kedua jelas sekali mencetuskan rasa takut kepadanya dan beliau hanya mampu menggeleng kepala memikirkan bagaimana beliau dan keluarga akan bertahan sekiranya ia benar-benar berlaku.
“Saya tak tahu nak kata apa. Saya takut orang jadi terdesak dan mereka akan buat apa sahaja untuk beri anak-anak makan. Saya tiada simpanan dan tiada rancangan untuk berdepan pusingan kedua (PKP).
Hamzah adalah contoh isi rumah 40% terbawah yang teruk terjejas apabila PKP menutup hampir semua aktiviti ekonomi negara.
Penjaja kecil seperti Hamzah dan pekerja gaji harian dalam sektor tidak rasmi yang besar hilang sumber pendapatan sekelip mata kerana tidak boleh bekerja atau membuka gerai mereka.
Pada 2017, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati seorang daripada 10 orang pekerja di Malaysia atau 10.6% adalah pekerja bukan pertanian dalam sektor tidak rasmi.
Angka itu dijangka bertambah sekarang kerana dapatan kajian KRI mendapati pekerjaan dalam sektor tidak rasmi bertumbuh pada kadar 4.% setahun, lebih dua kali ganda berbanding kadar pertumbuhan tahunan pekerjaan sebanyak 2.1% dalam sektor rasmi.
Jamaluddin Sidek, seorang tukang jahit, juga habis duit simpanan untuk belanja sepanjang PKP dan bergelut membuka kembali perniagaannya apabila PKP dilonggarkan dan aktiviti ekonomi mula dibuka semula.
“Saya ada banyak barang yang saya tempah sebelum bulan puasa kerana dulu, tukang jahit macam saya selalunya penuh ditempah untuk buat baju raya,” katanya yang berusia 53 tahun dan menetap di Shah Alam itu.
“Tetapi bila PKP berlaku dan orang tak boleh sambut Hari Raya, tempahan yang saya selalunya dapat hampir tiada. Jadi saya masih ada banyak barang tetapi tempahan sangat kurang berbanding sebelum ini.”
Tanpa simpanan dan pendapatan biasanya berkurangan, Jamaluddin bimbang perniagaannya tidak akan dapat bertahan sekiranya PKP kedua dikuatkuasa.
Sudah tiada simpanan
Hamzah dan Jamaluddin adalah antara 10 buah keluarga pendapatan rendah dan sederhana yang ditemubual The Malaysian Insight baru-baru ini bagi mengetahui bagaimana mereka bertahan sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Mereka ditanya bagaimana persediaan mereka sekiranya Putrajaya merasakan perlu untuk menutup aktiviti ekonomi negara sekali lagi bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilapor berkata yang kerajaan mungkin terpaksa mengenakan PKP kedua sekiranya kes Covid-19 terus naik disebabkan ramai rakyat mula lupa dan alpa untuk mengikut langkah pencegahan seperti penjarakan sosial dan kuarantin kendiri.
Muhyiddin juga memberi amaran yang PKP kedua boleh menyebabkan Malaysia rugi RM2 bilion pendapatan setiap hari.
Putrajaya sudah memperuntukkan RM295 bilion bantuan secara langsung dan tidak langsung termasuklah geran, pinjaman dan tangguhan bayaran bagi membantu merangsang ekonomi selepas PKP.
Daripada 10 keluarga yang ditemui The Malaysian Insight, tiada satu pun bersedia untuk PKP kedua dan tidak ada pelan sokongan sekiranya ia benar-benar berlaku.
Peniaga kedai kopi Abdul Aziz Abdil Abrahim berkata beliau baharu hendak menyimpan semula selepas simpanannya hampir habis ketika PKP dan tidak ada simpanan lain sekiranya PKP kedua berlaku.
“Ketika PKP, saya hanya boleh buat antara RM20 hingga RM30 sehari. Ia hanya cukup-cukup beri makan anak bini. Saya juga terima RM1,600 daripada kerajaan persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri,” katanya yang berusia 43 tahun dan menetap di Permatang Pauh itu.
Jualan di gerainya selepas dibuka semula pula sangat menggalakkan dan beliau yakin dapat menyimpan semula.
“Bila saya dengar amaran perdana menteri yang dia boleh tutup balik negara jika kes jangkitan terus naik, saya rasa takut betul. Memang ‘habis lah’ kalau saya kena tutup kedai lagi. Ini satu-satunya sumber pendapatan untuk saya dan keluarga.”
Juruteknik Shazwan Awang Mat berkata perniagaannya pula hanya 40% sehingga 45% berbanding sebelum PKP.
“Orang simpan duit kalau-kalau ada kecemasan jadi mereka tak belanja untuk benda lain yang tak berapa perlu,” katanya yang berusia 30 tahun dan bekerja di syarikat kecil memasang broadband di rumah.
“Ketika PKP, saya hantar duit kepada isteri dan ibu bapa di Kelantan tetapi jika ada satu lagi, saya tak tahu apa saya boleh buat dan sama ada boleh bertahan lagi sendiri di sini. Sangat susah,” kata Shazwan yang tinggal di Puchong, Selangor.
Antara mereka yang ditemubual, Jufri Mohamed adalah yang terakhir membuka kembali kedainya kerana khidmat gunting rambut hanya dibenarkan buka semula pada 10 Jun lepas.
“Selama 10 hari saya ada ramai pelanggan tetapi sekarang kurang balik dan saya baru hendak balik modal terutamanya dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikuatkuasa,” katanya yang berusia 37 tahun itu.
Kedai gunting rambut perlu menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan berbelanja membeli apron plastik pakai buang untuk setiap pelanggan.
“Saya hanya ada 30% pelanggan berbanding sebelum ini. Kalau ada PKP kedua, memang jejaskan saya, terutama bila saya sudah banyak belanja untuk patuhi SOP.
“Saya tak kata yang saya mengemis tetapi saya pun tidaklah hidup selesa sangat,” kata Jufri yang juga menerima bantuan RM1,6000 diberikan kerajaan.
Jika PKP kedua berlaku, keluarga sepertinya akan memerlukan lebih banyak bantuan hanya untuk mengelak kelaparan, kata Juffri lagi. – 25 Julai, 2020.
Komen