Pekerja berpendapatan rendah mahu kembali bekerja


Sheridan Mahavera Desmond Davidson Zaim Ibrahim

Pekerja sektor pembinaan sedang bekerja di Menara Warisan Merdeka, Kuala Lumpur. Kebanyakan pekerja berpendapatan rendah mahu kembali bekerja selepas pendapatan mereka terjejas akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

AMIRUL Ramly merasakan dia terkesan dua kali ganda akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang turut mematikan sebahagian besar ekonomi.

Pengalaman sendiri sebagai salah seorang daripada 1.4 juta pekerja sektor tidak formal membuktikan wujud keperluan untuk kerajaan meletakkan keselamatan kerja dalam polisi jangka panjang bagi membantu keluarga berpendapatan rendah bertahan daripada kesan Covid-19, kata pakar.    

Amirul hilang satu-satunya sumber pendapatannya sebagai juruelektrik bebas kerana PKP menangguhkan hampir semua projek pembinaan kecuali yang berskala besar seperti lebuh raya dan landasan kereta api transit awam.

Disebabkan dia bekerja sendiri dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dia tidak berada dalam pangkalan data kerajaan.

Ini bermaksud dia secara automatik tidak memenuhi skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana sepanjang PKP.

“Saya memohon BPN tetapi kali terakhir saya semak permohonan masih diproses,” katanya baru-baru ini, kiri-kira dua minggu lebih selepas kerajaan mengatakan bantuan BPN akan diberikan.

“Rakan-rakan saya yang lain sudah menerima BPN tetapi saya belum,” kata lelaki berusia 44 tahun dari Puchong, Selangor.

“Mereka diberi cuti dan dibayar gaji tetapi saya tidak ada pendapatan kerana tidak dapat bekerja. Saya juga berdepan masalah untuk terima BPN,” katanya.

Individu seperti Amirul berada dalam apa yang disebut oleh Khazanah Research Institute sebagai “sektor tidak formal” di mana syarikat “mempunyai kurang daripada 10 pekerja berorientasikan keuntungan tetapi tidak berdaftar dengan SSM, badan professional atau pihak berkuasa tempatan”.

Pada 2017 KRI mendapati satu daripada 10 pekerja di Malaysia atau 10.6% mempunyai pekerjaan bukan pertanian di sektor tidak formal.

Angka itu mungkin lebih tinggi sekarang kerana KRI mendapati pekerjaan di sektor tidak formal meningkat pada kadar 4.5 per tahun berbanding pekerjaan di sektor formal yang meningkat pada 2.1% pada tempoh sama.

“Sebilangan besar pekerja di sektor tidak formal adalah mereka yang mempunyai akaun sendiri dan bekerja dari rumah,” menurut artikel berjudul Unregistered and “Invisible”: Workers in Malaysia’s Informal Sector.

Pekerjaan sektor tidak formal sering dianggap tidak menentu kerana mereka tidak mempunyai perlindungan buruh seperti cuti sakit dan cuti berbayar, jaminan sosial dan dana persaraan. – 25 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen