PKP kali kedua akan lebih merugikan, kata ahli ekonomi


Sheridan Mahavera

Perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua akan memberi kesan hebat kepada perniagaan yang berdepan kerugian pada PKP fasa pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight 25 Julai, 2020.

DUA juta rakyat Malaysia tidak bekerja dan penutupan perniagaan secara besar-besaran antara kesan yang berlaku jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekali lagi, kata pakar ketika Putrajaya memberi amaran mengenai tindakan seperti itu disebabkan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat.

Ekonomi akan terjejas teruk apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) akan memberi kesan hebat kepada perniagaan yang berdepan kerugian pada PKP fasa pertama dan sedang berusaha untuk kembali stabil, kata ahli ekonomi.

PKP kedua juga akan melambatkan pemulihan ekonomi sehingga setahun dari jangkaan separuh pertama 2021 hingga 2022.

Pakar ekonomi berkata kepada The Malaysian Insight bahawa Putrajaya mesti seboleh-bolehnya mengelak dari menguatkuasakan perintah pengurungan di seluruh negara.

Sebagai gantinya ia harus memastikan usaha pencegahan dilakukan di lokasi tertentu sahaja melalui perintah kwalan pergerakan dipertingkatkan di kawasan wabak.

“Kesan perintah pengurungan pertama cukup serius dan kita belum merasakan kesannya sepenuhnya,” kata Dr Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Nambiar berkata kesan daripada perintah pengurungan kedua tidak akan dapat dibayangkan.

“Kesan dari perintah pengurungan yang lalu, kita akan menyaksikan syarikat berdepan kekurangan permintaan tanpa pengurangan kos operasi selain pada masa sama perlu membayar pinjaman mereka,” katanya

Nambiar merujuk pada moratorium pinjaman bank yang berakhir pada September memaksa pengguna dan syarikat untuk memulakan pembayaran pinjaman mereka pada Oktober.

Persatuan perdagangan juga sudah meramalkan peningkatan muflis dan pemberhentian pekerja selepas Oktober kerana syarikat perlu memilih antara mengekalkan kakitangan atau menyelesaikan pinjaman mereka dengan pendapatan yang menurun.

“Dari sisi pengguna, dengan meningkatnya pengangguran, hutang sedia ada dan keyakinan pengguna yang lebih rendah, prospeknya akan tidak cantik.

“Kerajaan tidak akan menguatkuasakan perintah sekatan kedua tetapi jika dipaksa melakukannya, ia harus membendung kesan ekonomi yang dihasilkan dalam ruang fiskal dan monetari yang terhad.

“Kadar pengangguran akan meningkat 1.5 hingga 2 juta,” katanya.

Perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan lebih baik

Malaysia berada di bawah PKP dari 18 Mac hingga 12 Mei dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berakhir pada 2 Jun.

PKP telah menutup sebahagian besar ekonomi kecuali beberapa industri penting termasuk makanan, penjagaan kesihatan, tenaga dan logistik.

Unit perancang ekonomi Putrajaya berkata seramai 520,000 hilang pekerjaan semasa PKP termasuk berdepan kerugian RM63 bilion.

Ketika kes meningkat kepada dua digit dalam beberapa hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa Putrajaya boleh mengenakan perintah pengurungan sekali lagi bagi membendung gelombang kedua wabak.

Ahli ekonomi Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) berkata ekonomi sudah berada di hujung tanduk dan tidak mampu untuk berdepan dengan perintah berkurung kali kedua.

“Ketidakpastikan dan ketakutan terhadap perintah pegurungan akan mempengaruhi keputusan perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang menyebabkan kemerosotan ekonomi yang berlarutan lebih lama,” kata Lee, pengarah eksekutif SERC.

“(PKP kedua) akan mendorong pemulihan lebih lama. Dianggarkan ekonomi merosot RM2 bilion setiap hari sepanjang PKP,” katanya.

Lee berkata PKP kedua akan menjejaskan perniagaan yang sudah lama berdepan kerugian dan lebih banyak hilang pekerjaan.

“Secara khusus sektor perhotelanan dan pelancongan yang menunjukkan tanda-tanda kembali pulih akan kembali terjejas,” katanya.

Ahli ekonomi lain Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata PKP kedua akan menambahkan beban hutang lebih besar kepada kerajaan kerana perlu membuat pinjaman lebih banyak untuk membantu rakyat Malaysia yang menganggur dan perniagaan yang terjejas.

Bantuan langsung kerajaan bernilai RM45 bilion yang diberikan dalam pakej Prihatin dan Penjana menyebabkan defisit harga meningkat dari 5.8% hingga 6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pakej bantuan lain untuk menyelamatkan ekonomi boleh menyebabkan defisit meningkat sebanyak 3% hingga 4% kerana memerlukan lebih banyak wang untuk memperbaiki kerugian yang disebabkan oleh PKP kedua, kata Yeah.

PKP kedua selama 14 hari akan mendorong pemulihan jangkaan 2021 sehingga separuh kedua 2021 atau separuh pertama 2022.

“Ini adalah sesuatu yang harus kita hindari sebaik mungkin. Lebih baik kerajaan melaksanakan PKPD di kawasan disasarkan apabila jangkitan dikesan.

“Jika satu kawasan ditutup kesannya tidak seburuk menutup seluruh negara kerana semua orang di luar kawasan akan dapat terus bekerja dan perniagaan dapat terus beroperasi. Ini adalah pilihan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Malaysia semalam mencatatkan 21 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 8,861 kes.

Dari jumlah ini 161 adalah kes aktif. Jumlah kematian kekal pada 123 kes. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen