Umno yang lawan rakyat, bukan DAP, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Umno silap besar kalau jadikan DAP sebagai musuh utama kerana partinya itu bukan seperti Umno yang merupakan parti berasaskan kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 6 Disember, 2017.

UMNO silap besar kalau jadikan DAP sebagai musuh utama dalam pilihan raya umum ke-14 nanti, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Bukan Umno lawan DAP. Sebenarnya Umno yang melawan rakyat Malaysia. DAP cuma salah satu dari empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) saja.

“Mereka ini akan kalahkan DAP sebab kami senang dibuli, sebab kami bukan parti berasaskan kaum Melayu, bukan juga parti berasaskan agama Islam,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian berhubung isu partinya yang menjadi tumpuan utama serangan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 yang berlangsung di Putra World Trade Centre (PWTC) hari ini.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan mengenai pameran karikatur anjuran Jabatan Penerangan Umno yang menampilkan kira-kira 20 karikatur dan poster saduran anti-DAP, yang semuanya menunjukkan pakatan pembangkang itu dikuasai oleh DAP.

Di samping itu beberapa skrin televisyen turut dipasang memaparkan video Annuar “menerangkan” bagaimana Kit Siang dan DAP berjaya menundukkan tiga tokoh Melayu Islam paling hebat untuk mengikut telunjuk parti “majoriti Cina” itu. Tiga tokoh Melayu itu ialah Dr Mahathir; Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata beliau terkejut dengan pameran itu apatah lagi apabila wajahnya turut digunakan dalam pameran itu.

“Umno dah bankrap idea, main isu perkauman, main isu agama untuk pecah belahkan rakyat.

“Tapi sampai sekarang mereka tak naikkan pula isu GST dan korupsi. Kenapa tidak ada kartun pasal GST?” katanya.

Tambah Guan Eng, dalam budaya demokrasi, beliau tidak kisah dikritik, tetapi kritikan haruslah berdasarkan fakta,

“Saya asyik kena serang secara rakus dan berterusan. Nampak macam mereka boleh buat (serangan) ikut suka tanpa henti atau dikenakan tindakan,” katanya.

Tambahnya, pembangkang boleh terima cabaran dan dugaan seperti itu serta melawan naratif yang Umno lakukan.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk ubah kerajaan, untuk hentikan sikap buli dan keras kepala BN dan Umno.

“Jadi, pada pilihan raya umum nanti, bukannya Umno melawan DAP, tapi Umno melawan rakyat Malaysia. Kami tak akan benarkan mereka tukar naratif dan alihkan tumpuan,” kata Guan Eng.

Sidang media itu turut dihadiri kartunis politik terkenal Zunar atau Zulkiflee Anwar Ulhaque yang menggelar tindakan Umno menyerang DAP sebagai “dongeng jenaka.”

Sebelum itu, Guan Eng menyaksikan perjanjian memorandum antara Penang International Halal Hub (PIHH) Development Sdn Bhd dan syarikat e-dagang Aladdinstreet.com, yang merupakan syarikat e-dagang eksklusif halal pertama dunia.

Kedua syarikat itu akan bekerjasama mempromosikan produk dan servis oleh PIHH, yang juga dikenali sebagai Halal Penang di laman Aladdinstreet.com.

Perjanjian itu dijangka memberi manfaat dalam industri halal negara melalui perjanjian antara sempadan dan import-export melalui jaringan Aladdinstreet.com yang melibatkan 20 syarikat e-dagang seluruh dunia.

Dilancarkan pada 2016, Aladdinstreet.com dimiliki Aladdin Group yang juga rakan global persatuan bola sepak Manchester United. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen