Karikatur Umno tunjuk DAP kuasai Melayu


Radzi Razak

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati pameran tersebut menampilkan kira-kira 20 karikatur dan poster saduran anti-DAP menampilkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Pengerusi Bersatu Mahathir Mohammad, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail yang kesemua watak itu "dikawal" oleh Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Disember, 2017.

UMNO mengadakan satu pameran yang menghentam pemimpin Pakatan Harapan, bersempena perhimpunan agung tahunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), minggu ini.

Mesej utama pameran itu ialah dengan menggambarkan Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno lain yang meninggalkan parti, menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hanyalah kuda tunggangan DAP.

Pameran itu akan dirasmikan oleh Presiden Umno Najib Razak petang ini.

Menurut petugas pameran, idea menganjurkan pameran seumpama itu datangnya daripada buah fikiran Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa.

“Pameran ini memberi penerangan mengapa (rakyat) perlu menjauhi pembangkang seperti DAP dan juga gambar-gambar yang menunjukkan presiden kita Datuk Seri (Najib) bersama rakyat,” katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati pameran tersebut menampilkan kira-kira 20 karikatur dan poster saduran anti-DAP, yang semuanya menunjukkan pakatan pembangkang itu dikuasai oleh DAP. 

Sebuah karikatur menunjukkan DAP sedang bermain catur yang bidak-bidaknya ialah Bersatu, PKR dan Amanah.

Sebuah lagi karikatur memperlekehkan Amanah sebagai parti yang “tertinggal motosikal” yang dinaiki oleh DAP, PKR dan Bersatu.

Kesemua karikatur tersebut diletakkan di dinding dengan potret Kit Siang yang besar berada di atas potret pemimpin PH lain.

Di samping itu beberapa skrin televisyen turut dipasang memaparkan video Annuar “menerangkan” bagaimana Kit Siang dan DAP berjaya menundukkan tiga tokoh Melayu Islam paling hebat untuk mengikut telunjuk parti “majoriti Cina” itu. Tiga tokoh Melayu itu ialah Dr Mahathir; Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

“Ini bahayanya, semua mengikut telunjuk DAP… sebab itu mereka menentang apa-apa berkenaan Melayu dan Islam,” kata Annuar dalam sedutan video tersebut.

Beberapa dinding lain pula menampilkan gambar Najib bermesra dengan rakyat dalam program-program beliau semenjak menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri pada 2009.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 akan bermula malam ini sehingga Sabtu depan. Ini merupakan perhimpunan terakhir parti terbesar Melayu itu sebelum pilihan raya umum ke-14 yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun depan. – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen