Laporan: Dr Mahathir calon kuat singkirkan Najib


DR Mahathir Mohamad, yang dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), dilihat pencabar paling kuat untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang, lapor Channel News Asia (CNA).

Stesen televisyen di Singapura itu memetik pemerhati dan penganalisis politik berkata bekas perdana menteri itu kini dijangka hampir pasti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

“Saya fikir beliau akan bertanding,” kata A Kadir Jasin, bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times Group, seperti dipetik CNA, hari ini.

“Beliau membayangkan semua petunjuk mengetuai pembangkang untuk menjatuhkan BN (Barisan Nasional),” tambahnya.

Kadir juga menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang diterajui oleh Dr Mahathir. Parti itu ditubuhkan selepas bekas perdana menteri itu keluar Umno tahun lalu.

Sejak lebih setahun lalu, Dr Mahathir muncul menjadi pengkritik No. 1 terhadap pentadbiran Najib dengan membangkitkan isu utama—skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam ucapannya di perhimpunan agung sayap itu hari ini mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak terbuai dengan “dongeng nostalgia” yang mengagung-agungkan Dr Mahathir.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata Dr Mahathir secara peribadi tidak mahu bertanding pilihan raya tetapi akan bertanding untuk meraih undi pembangkang.

Katanya, beliau sudah bertanyakan hal itu sendiri kepada Dr Mahathir dan difahamkan bekas PM itu tidak mahu bertanding kerana mahu memberi laluan kepada generasi baru mengambil alih.

“Tetapi keputusan itu bukan sepenuhnya di tangan beliau kerana beliau sedia membenarkan kepimpinan PH buat keputusan.

“Beliau faham beliau masih ada pengaruh dan mungkin boleh meraih undi untuk (PH) dengan bertanding,” katanya, seperti dipetik oleh Straits Times.

Sekiranya bertanding, tambah Wan Saiful, Dr Mahathir ada peluang menang di kerusi Parlimen Langkawi kerana orang mengenang jasanya membangunkan pulau pelancongan itu.

Dr Mahathir bagaimanapun tiada peluang cerah untuk menang di Putrajaya, katanya. Pandangan itu juga dikongsi oleh seorang penganalisis politik lain.

Ketua sayap Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula dipetik sebagai berkata Dr Mahathir perlu bertanding “untuk kali terakhir” sebagai simbol perjuangannya membetulkan kesilapan lalu dan akhirnya, membebaskan Malaysia daripada hegemoni Umno. – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • 带饭了机房点

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh 米 多多 · Ulasan