1 kematian, 15 kes baharu Covid-19


Bede Hong

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 di Sarawak. Setakat ini 15 kes baharu itu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kepada 8,779 kes.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2020.

MALAYSIA merekodkan 15 kes baharu jangkitan Covid-19 setakat tengah hari ini, dengan satu kematian dilaporkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 75 tahun yang mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan strok meninggal dunia pada pukul 12.15 pagi Jumaat di bilik kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Johor.

Dr Noor Hisham berkata lelaki terbabit tinggal di rumah orang tua dan mula menunjukkan gejala demam dan batuk pada 10 Julai.

Ia menjadikan jumlah kematian kepada 123.

Menurut Dr Noor Hisham, 7 pesakit telah didiscaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 8.553 atau 97.4%.

Beliau berkata, 15 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kepada 8,779 kes.

“Terdapat 103 kes aktif ketika ini atau pesakit yang diasingkan dan menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada kes baharu itu, empat adalah import membabitkan dua rakyat Malaysia dan dua warga asing.

Katanya salah seorang warga asing itu ke negara ini atas urusan perniagaan manakala seorang lagi berkahwin dengan rakyat Malaysia. Kes import berkenaan adalah daripada UK (dua kes), India dan Libya.

Daripada 11 penularan tempatan katanya, lapan kes melibatkan warga Malaysia - lima dari Sarawak dan satu masing-masing dari Selangor, Sabah dan Johor.

Terdapat dua pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), salah seorang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Di Sarawak, dua warga Malaysia menjalani ujian saringan di pusat kawalan imigresen, seorang menjalani ujian sendiri, seorang jalani ujian untuk kembali bekerja dan seorang lagi diuji petugas kesihatan kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Di Selangor, pesakit disahkan positif selepas menjalani ujian saringan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum menjalani pembedahan manakala di Sabah, seorang disahkan positif di Hospital Queen Elizabeth 2.

Kes di Johor merupakan kematian ke 123 dilaporkan hari ini, dan merupakan kematian pertama sejak 11 Julai. 

Bagi warga asing, tiga kluster dikesan di Kuala Lumpur, Sepang, Selangor dan di Kuching, Sarawak. – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen