Kluster baharu Covid-19 dikesan di Sepang, KL dan Kuching


Bede Hong

TIGA kluster Covid-19 baharu hari ini diumumkan oleh Kementerian Kesihatan di Sepang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kuching.

Di Sepang, kluster baharu itu dikesan di sebuah tapak pembinaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga tengah hari ini, 96 pekerja - terdiri daripada sembilan rakyat Malaysia dan 87 warga asing - telah menjalani pemeriksaan. Dua pekerja diuji positif Covid-19 selepas pemeriksaan.
 
Kedua-dua pekerja tersebut adalah warga asing - seorang warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh. Warga asing di tapak pembinaan itu terdiri dari 63 warga Indonesia, 22 warga Bangladesh dan dua warga Myanmar.

Punca jangkitan bagaimanapun masih disiasat pihak berkuasa.

Kluster baharu di Kuala Lumpur pula dikesan di sebuah restoran Brickfields.

Dua warga India diuji positif Covid-19 pada tengah hari ini, selepas 14 pekerja restoran dan 236 pelanggan menjalani saringan kesihatan. Punca jangkitan di kluster juga masih disiasat.

Sementara itu, kluster baharu di Kuching dilaporkan di Jeti Kuching dan melibatkan pemeriksaan terhadap 25 nelayan, daripada pemeriksaan itu, dua warga Indonesia diuji positif Covid-19. Punca jangkitan di kluster Kuching ini juga masih disiasat pihak kementerian. – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen