Aishwarya Rai dan anak masuk hospital


Gambar fail Aishwarya Rai bersama suaminya Abhishek Bachhan dan anak mereka Aaradhya. – Gambar EPA, 18 Julai, 2020.

BINTANG Bollywood Aishwarya Rai Bachchan dan anak perempuannya dimasukkan ke hospital di Mumbai, hampir seminggu selepas disahkan dijangkiti Covid-19, lapor media.

Suaminya, pelakon Abhishek dan bapa mertuanya yang juga pelakon terkenal Amitabh Bachchan turut disahkan positif sebelum ini dan dimasukkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Ahad minggu lalu bekas ratu cantik dunia itu dan anaknya Aaradhya, 8, disahkan dijangkiti Covid-19 sehari selepas Abhishek dan Amitabh disahkan positif.

Aishwarya dan Aaradhya menjalani kuarantin di rumah tetapi akhbar Times of India melaporkan mereka berdua dipindahkan ke Hospital Navati semalam selepas mengalami masalah pernafasan. 

“Mereka dalam keadaan baik,” kata sumber hospital dipetik agensi berita Press Trust of India.

Amitabh, 77, dan Abhishek, 44, kini berada di wad isolasi dan kes mereka dikelaskan sebagai “ringan” semasa dibawa ke hospital minggu lalu.

Tiada perkembangan terkini mengenai dua beranak itu, namun Amitabh sering memuat naik status di Twitter. – AFP, 18 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen