Bintang Bollywood Amitabh Bachchan positif Covid-19


Bintang Bollywood Amitabh Bachchan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Mumbai.– Gambar EPA, 12 Julai, 2020.

BINTANG Bollywood Amitabh Bachchan disahkan positif Covid-19 pada Sabtu dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Mumbai.

Anak lelakinya Abhishek turut disahkan dijangkiti virus berkenaan.

“Saya disahkan positif Covid-19…dihantar ke hospital,” umum Amitabh Bachchan kepada 43 juta pengikutnya di Twitter.

“Mereka yang berhubung rapat dengan saya dalam 10 hari lepas diminta buat ujian!”

Tambah anaknya Abhishek, “kami ada gejala ringan dan kini dimasukkan ke hospital…Saya minta kepada semua untuk bertenang dan jangan panik.”

Amitabh merupakan idola kepada jutaan peminatnya di India dan seluruh dunia.

Beliau yang juga terkenal dengan jolokan “Big B” memulakan kerjaya seni pada tahun 70an dengan filem hit seperti “Zanjeer” dan “Sholay”.

Filem-filemnya masih menarik penonton untuk memenuhkan pawagam di India, tetapi filem terbarunya - drama komedi “Gulabo Sitabo” - disiarkan dalam talian berikutan perintah berkurung yang memaksa pawagam ditutup.

Anaknya Abhishek Bachchan, 44, juga merupakan pelakon terkenal dan mengahwini pelakon dan bekas ratu cantik dunia Aishwarya Rai.

India merekodkan 820,916 kes koronavirus pada Sabtu—yang merupakan ketiga tertinggi di dunia—dengan 22,123 kematian. – AFP, 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen