Kerajaan perlu buat lebih lagi, bukan semak dasar kemiskinan saja


Sheridan Mahavera

Semakan semula aras kemiskinan langkah tepat mendapatkan hala tuju sebenar tetapi ia masih rendah bagi negara berpendapatan sederhana tinggi untuk menjadi negara kaya, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

MENURUT Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) – yang digunakan pada masa ini – satu tanda menunjukkan anda miskin ialah apabila anda tidak menamatkan sekolah rendah.

Tetapi pakar sosiologi Prof Denison Jayasooria mempertikaikan sama ada isi rumah yang di ambang berpendapatan rendah relevan lagi atau tidak untuk Malaysia yang dikelaskan sebagai hampir menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata keadaan itu tidak realistik memandangkan dalam pasaran buruh hari ini, kebanyakan kerja mempunyai gaji yang baik memerlukan sekurang-kurangnya lulus SPM dan memperoleh kredit bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia.

“Jika anda hanya tamat sekolah rendah pada masa sekarang, anda tidak akan dapat pekerjaan dengan gaji yang baik,” kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“Tetapi penunjuk dalam pengukuran kemiskinan itu tidak menunjukkan gambaran itu. Ia kelihatan seperti bermakna sesebuah isi rumah tidak serba kekurangan jika anak mereka tidak menamatkan sekolah rendah.”

Pendidikan adalah penanda aras yang digunakan dalam indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang diperkenalkan dalam RMK11 kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mahukan gambaran kemiskinan lebih tepat.

Denison berkata penunjuk itu adalah contoh bagaimana Malaysia masih perlu menambah baik cara ia mengukur masyarakat paling miskin dan terdedah.

Ia susulan kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini menyemak semula pendapatan garis kemiskinan (PGK) – penanda aras utama dalam mengukur kemiskinan – daripada pendapatan isi rumah bulanan RM980 hingga RM2,208.

Ini menyebabkan kadar kemiskinan meningkat daripada 0.4% hingga 5.6% atau daripada 24,700 isi rumah kepada 405,411.

Denison dan pakar lain berkata semakan semula adalah langkah tepat bagi mendapatkan hala tuju sebenar tetapi ia masih rendah bagi negara berpendapatan sederhana tinggi untuk menjadi negara kaya.

Bagi menangani masalah kemiskinan dengan serius, ia juga perlu menyemak semula petunjuk dalam penanda aras kemiskinan pelbagai dimensi seperti akses kepada penjagaan kesihatan, tahun persekolahan dan rumah berkualiti.

“Tetapi cabarannya ialah untuk beralih daripada PLI kerana ia digunakan untuk negara-negara termiskin di dunia. Kita negara berpendapatan sederhana tinggi menuju ke berpendapatan tinggi,” kata Denison.

“Malah penunjuk pelbagai dimensi kita juga terlalu rendah. Kita tetapkan ia sebagai menamatkan sekolah rendah. Tetapi hari ini, sepatutnya ialah anak anda perlu lulus SPM kerana jika tidak, mereka tidak akan dapat kerja.

“Jika seorang anak tinggal di rumah pangsa tetapi tidak ada komputer, bukankah dia miskin secara digital? Kerana sepanjang pandemik Covid-19, dia tidak dapat akses kepada pembelajarannya.

“Ini adalah faktor semasa yang perlu kita pertimbangkan ketika mengukur kemiskinan.”

Malaysia masih perlu menambah baik cara ia mengukur masyarakat paling miskin dan terdedah, juga mengambil kira migran, orang tanpa kerakyatan dan pelarian dalam data kemiskinan jika serius mahu berubah menjadi negara berpendapatan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

Cabaran berbeza

Semakan semula PGK diumumkan pada 10 Julai lalu, selepas bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Philip Alston mendedahkan laporan terkininya mengenai kemiskinan di Malaysia.

Laporan tersebut antara lain mengkritik had garis kemiskinan tidak tepat dan tidak berdasarkan realiti semasa. 

Pakar kajian pembangunan Dr Madeline Berma dari UKM berkata ahli akademik Malaysia sudah sekian lama menggesa PGK yang dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980, disemak semula.

“Apabila had garis kemiskinan tidak mencerminkan realiti akar umbi, anda akan mendapat gambaran tidak tepat. Tidak logik tinggal di Sentul atau Lembah Pantai dengan RM980 sebulan,” kata Berma.

Selain PGK, Jabatan Perangkaan juga menyemak semula pengkelasan kumpulan pendapatan isi rumah.

Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, kumpulan isi rumah kumpulan terendah 40% (B40), kumpulan pertengahan 40% (M40) dan kumpulan tertinggi 20% (T20) boleh diperincikan kepada 10 kategori.

KumpulanB40 boleh diperincikan kepada B1, B2, B3 dan B4; M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 manakala T20 kepada T1 dan T2.

Bagi kumpulan isi rumah B40, mereka yang berpendapatan bawah RM2,500 boleh diletakkan dalam kategori B1, manakala B2 hingga B4 antara RM2,501 hingga RM4,850.

Bagi kumpulan M40, M1 hingga M4 adalah isi rumah berpendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970. Bagi kumpulan T20 pula, T1 bagi isi rumah berpendapatan antara RM10,971 hingga RM15,040 manakala T2 dengan isi rumah berpendapatan RM15,041 dan ke atas.

Seorang lagi penyelidik kemiskinan, Jayanath Appadurai, berkata ahli akedemik sudah lama mengetahui keperluan isi rumah B40 berbeza dengan B20 dan B10.

Keluarga nelayan, petani, pekerja rencam dan tukang bersih tidak mempunyai gaji minimum dan skim pencen, katanya.

“Ini berbeza dengan mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 yang bekerja di sektor perkhidmatan atau pembuatan yang mempunyai caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

“Jadi, cabaran bagi kumpula B10 dan B20 berbeza. Mereka perlukan bantuan tunai, makanan, dan bantuan tempat tinggal yang lebih baik ketika berlaku krisis ekonomi seperti krisis Covid-19,” kata Jayanath, yang juga menulis buku mengenai masyarakat India di Malaysia dan kemiskinan di Klang.

“Pada masa yang sama kita juga perlu mengambil kira migran, orang tanpa kerakyatan dan pelarian dalam data kemiskinan jika kita serius mahu berubah menjadi negara berpendapatan tinggi.” – 18 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen