Hishammuddin bohong mengenai isu pencerobohan kapal China, kata bekas menteri


Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein berkata tiada lagi kehadiran kapal milik China di perairan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

DAKWAAN Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang tiada kapal milik China di perairan Malaysia tidak benar, kata bekas menteri Anifah Aman.

Beliau berkata dakwaan Hishammuddin tidak benar sama sekali dan menunjukkan beliau bermain politik dalam isu tersebut.

“Saya terkejut dengan kenyataan menteri. Sama ada beliau dalam keadaan penafian atau tidak mengetahui kenyataan itu.

“Paling teruk, beliau sedang bermain politik dengan kepentingan maritim dan strategik Malaysia,” kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kimanis itu menambah beliau diberitahu oleh pemberi maklumat yang “dipercayai”, masih ada kehadiran kapal China di perairan Malaysia.

Anifah juga berkata Malaysia mempunyai hak meminta China untuk bertanggungjawab terhadap kapalnya dan bukan hanya menutup mata.

“Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan China terhadap kawasan maritimnya di Laut China Selatan dan kerajaan harus mendukung tinggi kedudukan untuk memastikan kepentingan maritim dan strategik Malaysia tidak tergugat.

“Kegagalan melakukannya adalah penganiayaan besar bagi negara,” katanya.

Hishammuddin dilaporkan berkata tiada lagi kapal China di perairan Malaysia.

Ini berlaku selepas laporan audit menunjukkan pencerobohan kapal milik China di perairan Malaysia sebanyak 89 kali sepanjang tempoh 2016 hingga 2019.

Beliau juga berkata terdapat perbincangan secara damai antara kerajaan China dan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah tersebut. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen