Tiada lagi kapal perang China di perairan negara, kata Hishammuddin


Mohd Farhan Darwis

Menteri Luar Hishammuddin Hussein mengesahkan tiada lagi kapal perang China berada di perairan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

MENTERI Luar Hishammuddin Hussein mengesahkan tiada lagi kapal perang China berada di perairan negara.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata ia susulan perundingan yang dilakukan antara kedua-dua negara.

“Kapal-kapal China yang ada di perairan kita sudah tiada lagi. 

“Bagaimana cara kita lakukannya, itu antara kita dan kerajaan China. Pendirian kita jelas, kita tak kompromi (soal kedaulatan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Hishammudin berkata perkara itu dapat dilaksanakan kerana pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya memulihkan semula hubungan baik dengan China, termasuk negara-negara kuasa besar dunia.

“Kita berjaya memulih balik hubungan baik hubungan dengan China, India, Arab Saudi, dan UAE (Emiriah Arab Bersatu)... sudah pasti pertikaian di Laut China Selatan dengan China.

“Bukan perkara mudah, bukan China sahaja kemuka tuntutan semata-mata. Di Laut China Selatan ada tuntutan bertindih dengan negara-negara Asean,” kata Hishammuddin.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dikeluarkan semalam mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan) direkod menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

“Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019,” kata laporan itu.

Laporan itu berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM). – 15 Julai, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen