Menteri Wilayah nafi dakwaan pelarian diusir dari rumah sewa


Aminah Farid

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata hanya Pati tidak dibenarkan menyewa, pelarian pemegang kad UNCHR tidak terjejas dengan peraturan DBKL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

TIADA pelarian dengan kad Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) diusir dari kediaman mereka susulan peraturan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan pendatang tanpa izin daripada menyewa di ibu kota, kata menteri Wilayah Persekutuan.

Annuar Musa menolak kebimbangan dibangkitkan kumpulan hak pendatang Tenaganita dan beberapa pihak lain yang mendakwa hampir 700 Rohingya kehilangan rumah sewa mereka kerana peraturan itu.

Menteri menafikan dakwaan itu dan berkata sepanjang pengetahuannya tidak ada pelarian menjadi gelandangan.

“Jika Tenaganita ada data, itu bagus. Saya mahu tahu siapa mereka dan siapa tuan rumah kerana ia bukan bidang kuasa kita,” katanya pada sidang media di Menara DBKL, hari ini.

“Mereka yang ditangkap hanyalah Pati (pendatang asing tanpa izin). Tidak ada pelarian yang diusir.”

Tenaganita minggu lepas berkata ia menerima aduan daripada pelarian yang mencari tempat perlindungan selepas diusir dari rumah sewa oleh tuan rumah warga Malaysia.

Annuar berkata pelarian pemegang kad UNHCR tidak terjejas dengan peraturan baharu DBKL.

Tambahnya, Jabatan Imigresen juga tidak memburu pelarian.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara yang turut hadir sidang media, berkata DBKL hanya memberi amaran kepada tuan rumah supaya tidak menyewakan premis mereka kepada Pati selaras dengan Akta Imigresen.

“Peraturan itu di bawah Akta Imigresen yang tidak membenarkan pendatang tanpa izin untuk menyewa rumah atau memberikan mereka sebarang perlindungan sekiranya mereka tidak mempunyai dokumen perundangan (perjalanan).”

Timbalan menteri itu berkata Jabatan Imigresen berhak menahan pendatang asing tanpa izin dan meletakkan mereka di pusat tahanan.

Santhara menambah yang DBKL tidak mensasarkan pelarian dan mereka yang diusir mungkin ada masalah peribadi dengan tuan rumah, katanya yang menambah isu itu di luar bidang kuasa DBKL.

Kebimbangan nasib pelarian yang diusir ditimbulkan oleh antara lain, pengasas Beyond Borders Mahi Ramakhrisnan dan aktivis hak pelarian Hanif Mahfa.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat hari ini, dalam soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat Rina Harun yang bercakap tentang soal gelandangan ketika sesi soal balas menteri.

Rina menjawab yang kementerian sedang mengkaji pelbagai isu melibatkan pelarian dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar, tetapi tidak dapat menjawab soalan Yeoh berkaitan pengusiran pelarian dari rumah sewa dan sama ada wujud koordinasi dengan UNHCR.

Soalan Yeoh kekal tidak terjawab apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon meminta semua wakil rakyat membincangkan soalan seterusnya. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen