Persahabatan dan kebencian dalam perang hidup baru


Zainal Rashid Ahmad

HIDUP perlukan renungan terutama dalam soal persahabatan. Walaupun, sesekali elok juga merenung dalam soal permusuhan.

Renunglah dengan jujur – supaya yang terfikir dan terhasil daripada renungan itu ialah kebaikany ang bermanfaat.

Pada 1 Julai lalu, kisah seorang rakan yang juga bekas gengster dan penagih dadah serta pernah bergelar bintang popular muncul menjadi trending di media sosial baru-baru ini.

Sangat trending hingga dari laporan portal berita Astro Awani, kisah hidupnya di pondok kecil di Alang Sendayu, Gombak tular di media sosial.

Dalam tempoh 48 jam, kisah hidupnya melebar dan jadi bahan laporan akhbar dan TV.

Alhamdulillah. Tularan berita itu ada hikmahnya. Hasil usaha rakan wartawan Astro Awani, pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan segera membantu.

Kehidupan penyanyi ini bersama isterinya di pondok kecil berakhir pada 11 Julai lalu.

Penyanyi popular dekad 90-an ini segera mendapat bantuan dan diberikan rumah PPR dan berpindah masuk pada 12 Julai.

Pada masa yang sama, kisah gelap dan pepbagai cerita buruk mengenai kehidupan masa lalu penyanyi popular ini turut diberikan liputan meluas oleh media massa lain.

Semua laporan mengenai keburukan artis kelahiran Changlun ini ditulis semula oleh wartawan. Sekalipun, tidak pernah datang menemubual penyanyi popular ini.

“Mereka boleh datang kalau mahu maklumat. Tetapi melaporkan kembali kisah lama untuk menerbitkan kebencian masyarakat dan melaga-lagakan saya dan keluarga tentulah tidak baik,” rungut penyanyi ini.

Laporan akhbar menyebut anaknya enggan mempedulikan penyanyi ini. Malah, menganggap apa yang berlaku adalah karma pada ayahnya.

Malah, ada wartawan yang mengutip semula berita dua tahun lalu, apabila adik penyanyi ini, enggan memberikan nombor telefon anak-anaknya.

“Memang saya ada pergi minta nombor telefon anak-anak kerana saya rindu. Tapi, adik saya fikir mungkin belum masanya saya menghubungi anak-anak. Itu saja.

“Tetapi dilapor semula seolah-olah adik saya bencikan saya,” kata penyanyi ini.

Selepas bercerai pada 2003, penyanyi ini jatuh teruk dalam kerjayanya. Namanya tercemar apabila dikaitkan sebagai geng kongsi gelap dan penagih dadah. Malah, dilaporkan mengemis di Pasar Borong dan stesen minyak.

“Apa yang lepas kira lepaslah… tidak perlu diungkit dengan niat memalukan saya serta keluarga,” katanya.

Tiada teman kalau bercakap soal masalah

Alhamdulillah. Kini di rumah yang disewakan PPZ, penyanyi ini dan isteri yang mengalami patah tulang punggung dapat melalui kehidupan lebih baik.

Sangat baik berbanding keadaan kurang sempurna ketika berada di pondok lama di tebing lereng tanah tinggi.

Hidup baru kini bermula. Malah, fasa paling mencabar akan dialami penyanyi ini sepanjang tempoh enam bulan bermula Ogos ini.

“Ya, saya akan lalui fasa hidup yang paling menguji dalam enam bulan ini kerana rawatan pemulihan dan psikologi,” katanya.

Sebagai bekas penagih dadah, penyanyi ini mahu benar-benar pulih dan tidak lagi bergantung pada ubat-ubatan.

“Tetapi semua ini tidak mudah. Saya perlukan doktor pakar dan sudah mendapatkan temujanji pada Ogos nanti,” katanya.

Selain masalah penagihan dan proses meninggalkan ubat-ubatan anti penagihan, penyanyi ini juga memerlukan rawatan kaunseling.

Kesan utama yang membebankan penyanyi ini ialah memulihkan “gangguan depresi” dan fobia sosial yang dialaminya.

“Saya perlukan kekuatan mental untuk berdepan masyarakat apabila kembali menyanyi dan saya mahu menggerakkan kempen sosial bagi meningkatkan hubungan kasih-sayang sesama manusia,” katanya.

Cuma, penyanyi ini ketiadaan teman untuk berbincang soal masalah dirinya.

Ini krisis yang dialami ramai bekas penagih apabila melalui proses pemulihan. Mereka dijauhi keluarga, rakan-rakan dan sistem sokongan moral sangat minimal.

Sifat dan sikap kita sendiri menyebabkan sistem sokongan moral dan profesional sangat minimal dalam membantu bekas penagih memulakan hidup baru.

Pada hari-hari yang sukar ketika mengalami beban trautamik terhadap dadah, kemusnahan keluarga dan ketakutan pada kegagalan - penyanyi ini berdepan tekanan fobia dan serangan “anxiety” yang teruk.

“Ini keadaan paling menakutkan sebab gangguan ini menyebabkan saya mengalami serangan panik teruk dan kembali bergantung pada ubat-ubatan yang sebenarnya tidak sesuai,” katanya.

Penyanyi ini berkongsi kisah hidupnya setelah menyedari, betapa pentingnya satu sistem sokongan sosial dan profesional bagi membantu individu yang ingin memulakan hidup baru.

Kenalan boleh datang dan pergi. Malah, menyeret penyanyi ini ke mana saja pada saat dirinya menjadi subjek tumpuan masyarakat.

Wang dan beras ialah rezeki; tanda ehsan manusia pada nasibnya.

Namun, yang dicari penyanyi ini ialah nilai “persahabatan” untuk membantunya memulakan hidup baru setelah tiga kali gagal untuk pulih daripada ancaman dadah.

Setelah menilainya, jelas wujud kenyataan pahit yang mesti ditelan: “rakan dan kawan tidak berani terlalu akrab dan terlalu membantu.”

Semua masih tidak mahu menanggung risiko sekiranya penyanyi ini gagal atau kembali “bermasalah”.

Rakan-rakan bimbang mereka turut terpalit lumpurnya. Kecuali membantu sekadarnya, ataum endapat manfaat ketika penyanyi ini trending di media sosial.

Kesukaran mesti ditempuhi

Bahagian proses pemulihan adalah cabaran paling sukar. Penyanyi ini mesti tabah melaluinyas ekali pun perlu bersendirian.

“Tak sabar nak jumpa doktor dan dapatkan nasihat pakar serta ubat yang betul bagi menyelesaikan masalah saya,” katanya.

Setakat ini, ternyata penyanyi ini sangat berkeyakinan untuk memulakan hidup baru tanpa dadah dan jenayah.

Malah, mahu berjuang sekali lagi di pentas nyanyian dengan semangat diri dan iltizam muzik yang baharu.

Pada usia lebih setengah abad, penyanyi ini mahu kembali memenangkan hati anak-anak dan peminatnya.

“Saya akan melakukannya, saya pasti akan melaluinya walau banyak cabaran. Saya inginm eyakinkan anak-anak, bahawa saya bapa yang baik,” katanya.

Tanpa menyebut nama, kita semua tahu siapa penyanyi ini. Bantulah perjuangannya dengan apa yang kita mampu.

Kepada yang membenci, hentikan sekejap kebencian anda. Pada yang mahu mengambilk kesempatan; ambillah dengan baik dan berbaloi.

Pada wartawan yang membencinya, simpanlah ancaman. Bukan apa-apa; tidak perlulah menikam seseorang yang lemah dan sedang bertongkat mencari nyawa! – 15 Julai, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen