Kenyataan 'gelap' merujuk kepada tempat duduk, kata Abdul Azeez


Chan Kok Leong Kamles Kumar

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf dan menafikan kenyataan "gelap" ditujukan kepada mana-mana ahli Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf berhubung kenyataan “gelap” namun mendakwa ia merujuk kepada tempat duduk dan bukan ditujukan kepada sesiapa.

“Saya tak berniat untuk panggil sesiapa ‘gelap’ sebab saya pun gelap,” katanya.

“Selama 2 tahun, saya pun duduk di situ (merujuk kepada tempat duduk Kasthuriraani Patto) dan kawasan itu gelap, biasanya Speaker tak nampak kita.

“Komen saya semalam merujuk kepada kawasan yang gelap dan saya mahu netizen tahu tentang ini. Namun begitu saya minta maaf tentang kenyataan itu,” kata Abdul Azeez, yang turut diarahkan memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu oleh speaker yang baharu dilantik Azhar Azizan Harun.

Beliau memohon maaf kerana kenyataan “gelap” yang dibuat pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin.

Kasthuri Patto (Batu Kawan-PH), yang menjadi sasaran kenyatan itu berkata ia juga meruakan penghinaan terhadap wanita.

“YB Baling bukan sahaja kata saya gelap, dia juga minta saya pakai bedak,” kata Kasthuriraani.

Beliau turut mempersoalkan tindakan ahli Parlimen wanita di pihak kerajaan yang berdiam diri, dan mengatakan kegagalan mereka untuk memberi respon kepada kenyataan seksis itu disifatkan sebagai penghinaan.

Kasthuri sebelum itu mempersoalkan ketiadaan wanita dalam jawatankuasa pemilih yang dibahaskan oleh Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer turut menggesa Abdul Azeez menarik balik kata-katanya kerana ia bersifat perkauman.

Terdahulu ketika pembukaan persidangan Dewan Rakyat hari ini, Azhar mengarahkan Azeez memohon maaf susulan kenyataan itu.

“Saya telah meneliti hansard tersebut dan mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah offensive (bersifat menghina) dan saya ingin meminta Yang Berhormat Baling memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut.

“Saya harap ahli Parlimen lain tidak mengulanginya,” kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada pukul 3.32 petang selepas Azhar gagal mengawal dewan ketika ahli Parlimen mempersoalkan kenyataan “gelap” dan “guna bedak” oleh Abdul Azeez kepada Kasthuriraani.

Selepas permohonan maaf itu, Kasthuriraani turut menggesa agar Azhar untuk mengambil tindakan lebih tegas pada masa akan datang.

“Walau apa pun alasannya, ia tidak sepatutnya diperkatakan. Alasan mengenai pencahayaan selain itu, saya percaya ada niat lain kerana dia juga meminta saya menggunakan lebih banyak bedak,” katanya.

Enggan memanjangkan lagi isu, Azhar menggesa semua ahli Parlimen untuk meneruskan sesi soal jawab.

“Baling sudah memohon maaf jadi kita akan teruskan. Saya akan ambil tindakan tegas pada masa hadapan,” kata Azhar. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Malu-lah MP ini. Kalau tempat duduk gelap, Macam mana boleh guna bedak? Kita Rakyat bukan bodoh.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Loyal Malaysian · Ulasan