Dewan Rakyat tangguh kerana ‘kulit gelap’ dan ‘bedak’


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selepas kecoh kerana kenyataan kulit gelap dan bedak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

DEWAN Rakyat ditangguhkan hari ini selepas kenyataan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim tentang warna kulit mencetuskan kekecohan dalam dewan.

Kasthuriraani Patto (Batu Kawan-PH) berkata Abdul Azeez bukan hanya mengeluarkan kenyataan mengenai “kulit gelapnya” tetapi juga menyuruhnya pakai bedak.

“YB Baling bukan sahaja cakap saya gelap, dia juga minta saya pakai bedak,” kata Kasthuriraani.

Tambahnya, kenyataan itu adalah “penghinaan kepada wanita”.

Mencelah pertikaman lidah yang makin membahang itu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mendesak Abdul Azeez menarik balik kenyataan yang disifatkannya sebagai berbaur perkauman.

Mempertahankan kenyataannya, Abdul Azeez berkata ia tidak ditujukan kepada Kasthuriraani kerana beliau juga berkulit gelap.

Kasthuriraani selepas itu mempersoalkan sikap wakil rakyat kerajaan yang berdiam diri dan bertanyakan sama ada mereka setuju menyokong kenyataan sebegiu.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkan ketika Kasthuriraani mempersoalkan ketiadaan wakil rakyat wanita dalam Jawatankuasa Pemilih dibentangkan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kemudiannya meminta speaker supaya tidak membenarkan kenyataan seksis seperti itu dikeluarkan dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kemudiannya bertanya sama ada kenyataan “bedak” boleh dianggap seksis.

Mempertahankan rakannya, Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar berkata kenyataan Abdul Azeez tidak ditujukan kepada sesiapa dan ia akan terbukti dalam Hansard Parlimen yang akan dikeluarkan nanti.

Sidang ditangguhkan kepada esok selepas wakil rakyat kerajaan dan pembangkang enggan bertenang.

Speaker baharu Dewan Rakyat Azhar Harun ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen berkata kenyataan seksis tidak akan diungkapkan lagi dalam Dewan.

“Saya fikir kita semua tak setuju dengan kenyataan seksis. Kita semua tak setuju dengan tindakan seksis. Sudah tentu, kami tidak akan sokong sebarang tindakan seksis, tetapi sama ada kenyataan itu seksis atau tidak bergantung kepada tafsiran terbuka ketika itu.

“Tetapi awak pun tahu, keadaan agak kecoh. Ketika itu, saya fikir wakil rakyat tersebut segera minta maaf dan tarik balik kenyataan. Tetapi, asasnya di masa depan, saya harap tiada kenyataan seksis dibuat lagi dalam Dewan Rakyat,” katanya. – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen