Gelombang baharu sentimen anti warga asing akan berlaku, kata aktivis


Sheridan Mahavera

Warga asing tanpa dokumen ditahan ketika serbuan di Petaling Jaya susulan penularan virus Covid-19 dikesan di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

PAKAR hak asasi manusia berkata sentimen anti warga asing akan berlaku di Malaysia sekali lagi, dicetuskan oleh sesetengah pihak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika keadaan ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mereka berkata sentimen sedemikian akan menyebabkan sukar untuk membantu sejumlah besar pekerja warga asing yang ada dokumen dan tiada dokumen, pelarian dan individu tanpa kerakyatan yang hilang kerja akibat kemelesetan ekonomi.

Xenofobia ini dapat dilihat dalam bagaimana Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa mengganggu media yang melaporkan tentang serbuan terhadap pekerja warga asing dan layanan terhadap mereka di pusat tahanan.

Ucapan kebencian juga menyekat keperluan kerajaan untuk merangka dasar yang bermakna dan bersesuaian untuk warga asing bagi menangani masalah keperluan pekerja di Malaysia dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph berkata elemen dalam PN memupuk rasa nasionalisme palsu dengan menyerang warga asing miskin dan media.

“Pada ketika ini wujud perkembangan ucapan kebencian dan xenofobia terhadap warga asing,” kata Joseph pada forum secara maya yang turut menampilkan wakil khas PBB berkenaan miskin tegar dan hak asasi manusia, Prof Phillip Alston.

“Wujud rasa nasionalisme palsu daripada mereka yang berada dalam kerajaan, cuba menjadi hero dengan menyerang warga asing atau penyampai, seperti media,” kata Joseph dalam forum anjuran kumpulan hak asasi manusia, Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Proham).

Enam wartawan Al-Jazeera disiasat atas dakwaan menghasut, memfitnah dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

Joseph merujuk kepada siasatan polis terhadap saluran berita Al-Jazeera berkenaan satu episod dalam 101 East Programme yang memaparkan tentang bagaimana pekerja warga asing ditahan dan dilayan di pusat tahanan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan antara 18 Mac hingga 12 Mei.

Enam wartawan terbabit disiasat atas dakwaan menghasut, memfitnah dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketika PKP berkuatkuasa, seorang wartawan South China Morning Post turut disiasat susulan laporan tentang serbuan terhadap warga asing di kawasan Masjid India pada Hari Pekerja.

Suaka politik Rohingnya turut menjadi mangsa kempen kebencian yang dibuat secara maya ketika perintah berkurung.

Menurut laporan Alston berkenaan kemiskinan, populasi pekerja warga asing dianggarkan antara tiga juta dan enam juga dan kadar kemiskinan mereka tidak termasuk dalam angka rasmi.

“Pekerja ini memainkan peranan luar biasa dalam ekonomi Malaysia, di mana membentuk tenaga buruh sekitar 15.66 juta, dan menjadi faktor utama dalam daya saing dan kejayaan ekonomi Malaysia,” kata laporan itu.

Pada forum itu, Alston berkata keadaan di Malaysia, terutama sebagai negara yang sedang cuba pulih daripada Covid-19, matang untuk xenofobia.

“Sentimen anti warga asing dilihat di seluruh dunia dan Malaysia tidak berbeza, dengan peningkatan pengangguran membabitkan warga asing tiada dokumen.”

Jika kerajaan serius tentang pengurusan populasi warga asing yang lebih baik, ia perlu melayan mereka secara adil, kata Joseph.

“Kita perlukan data lebih baik tentang berapa jumlah warga asing di sini, berapa ramai pelarian, individu tanpa warganegara, berapa ramai warga asing tanpa dokumen,” kata Joseph kepada The Malaysian Insight selepas forum itu.

“Adakah mereka ada akses kepada penjagaan kesihatan dan bantuan? Kerana kita perlu jaga mereka ini kerana mereka berada di negara kita dan menyumbang kepada ekonomi kita. Kita perlu tahu bagaimana mereka dieksploitasi.

“Kita tidak ada pilihan kecuali membantu semua orang di dalam negara ini dan bukan rakyat Malaysia saja.” – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen