Covid-19 reda tapi pementasan seni masih belum dapat sambutan


Zaim Ibrahim

Kumpulan boria popular di Pulau Pinang, Boria Omara berhadapan tempoh sukar apabila hampir 10 persembahan yang dijadualkan tahun ini terpaksa dibatalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

SEBAIK sahaja aktiviti seni dibenarkan semula pada 1 Julai, Fa Abdul melancarkan teater arahannya The Ice Kacang Project – yang pertama di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (PenangPac) sejak tiga bulan lepas.

Ia merupakan antara dua judul yang akan dipentaskan, daripada kesemua 29 pementasan yang terpaksa dibatalkan sepanjang Mac hingga Disember 2020 disebabkan pandemik Covid-19.

Teater genre komedi itu bagaimanapun kurang mendapat sambutan penonton disebabkan langkah kawalan wabak yang masih berterusan.

“Kita ada tiga persembahan, setiap satu persembahan kita sediakan 33 kerusi. Keseluruhan kita boleh memuatkan 99 orang.

“Tetapi, hanya 45 kerusi sahaja penuh, tidak capai kapasiti 50%. Saya lihat penonton gembira untuk tonton teater semula tetapi penjarakan fizikal mengganggu suasana dalam dewan.

“Mereka seolah-olah tidak selesa apabila terpaksa berjauhan dengan kawan dan keluarga,” jelas beliau.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan syarikat produksi tidak yakin untuk meneruskan pementasan kerana bimbang tiket tidak laku dijual.

“Jualan tiket sangat rendah, jadi nak buat apa-apa persembahan kena fikir semula banyak kali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Langkah penjarakan sosial itu menyebabkan hanya 30% daripada keseluruhan kerusi penonton boleh digunakan, menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga tiket.

“Tetapi ramai tidak mampu. Kerajaan juga mengehadkan penononton berusia 60 tahun ke atas tidak boleh datang, peminat kita di Pulau Pinang masih ramai dalam golongan itu.

“Persembahan saya biasanya boleh memenuhi 80% daripada dewan tetapi, The Ice Kacang Project adalah persembahan pertama saya yang tidak mencapai 50%,” jelasnya.

Fa Abdul juga berkata, pengalaman berlatih ketika musim Covid 19 juga dianggap unik kerana mereka lebih banyak menggunakan aplikasi panggilan video.

“Kami hanya melakukan raptai selama dua bulan melalui aplikasi Zoom. Raptai secara bersemuka hanya sempat tiga kali sebelum tarikh persembahan.

“Pada saya, latihan ini sangat mencabar sebab kita perlu memakai topeng muka dan menjaga jarak 1 meter,” katanya yang menambah mereka melakukan sanitasi dan pemeriksaan mengkut SOP.

Kumpulan boria popular di Pulau Pinang, Boria Omara juga berhadapan dengan tempoh yang sukar apabila hampir 10 persembahan yang telah ditempah tahun ini dibatalkan.

Pengasas kumpulan itu, Omar M Hashim berkata, beliau pada awalnya menjangkakan kumpulannya dapat kembali beraksi semula paling awal tahun hadapan.

Namun Omar berkata, kumpulannya kini hanya menumpukan kepada sesi latihan kerana belum mendapat sebarang jemputan persembahan secara rasmi setakat ini.

“Kalau sebelum wabak Covid-19, setiap bulan kita akan buat persembahan boria di Pelabuhan Pulau Pinang untuk sambut pelancong yang datang menggunakan kapal.

Persembahan itu dibatalkan dan kami masih menunggu jemputan persembahan yang lain. Setakat ini, kami baru terima satu jemputan sahaja itu pun belum pasti lagi,” katanya.

Beliau juga menjangkakan, persembahan boria yang sepatutnya meriah akan sedikit suram berbanding dahulu.

“Saya faham ia akan ambil masa. Jadi, sesekali ada persembahan pun kira untunglah sebab kami jangka tahun depan baru dapat kembali,” jelas beliau.

Satu-satunya persembahan yang dapat dilakukannya baru-baru ini hanyalah untuk sesi penggambaran dokumentari Jabatan Warisan Negara.

Katanya, mereka agak sukar untuk mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dan mencuci tangan pada hari pertama penggambaran tetapi kemudiannya dapat dilakukan dengan baik,

Pada sesi latihan pula, mereka mengurangkan peserta kepada 10 orang sahaja daripada lazimnya 15 orang.

25 Mei lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengeluarkan garis panduan bagi memudahkan pembukaan semula ruang seni budaya agar selari dengan langkah keselamatan awam persekutuan.

Selain menghalang penonton berusia lebih 60 tahun dan bawah 12 tahun, penganjur juga perlu menyediakan kerusi dengan jarak 1 meter setiap tempat duduk.

Bagi kakitangan produksi, suhu dan kesihatan mereka perlu disemak dua kali sehari.

Peluang cari idea baharu

Namun dengan SOP tersebut, industri kesenian dan kebudayaan masih memerlukan banyak masa untuk untuk pulih, kata seorang pengendali majlis kesenian dan kebudayaan, Joe Sidek.

“Memang satu petanda baik apabila kerajaan membenarkan aktiviti kebudayaan dan kesenian dibuka semula. Tetapi persoalan yang lebih besar, berapa ramai akan datang dan mahu tengok?”

Joe berkata, beliau juga tidak mahu syarikatnya terus tenggelam daripada pengetahuan orang ramai dan beliau mengadakan beberapa rancangan bual bicara, supaya jenamanya terus dikenali ramai.

“Saya mengadakan sesi bual bicara, Uncut: Live From The Blue Moon bersama penggiat seni luar negara secara langsung di Facebook.

“Seperti di Singapura, mereka juga mengadakan persembahan teater melalui penstriman di internet dan mendapat jumlah tontonan yang ramai,” tambahnya.

Joe yang terkenal sebagai pengurus acara Festival George Town turut berkata, tempoh PKP memberi beliau ruang untuk melakukan kajian lebih mendalam terhadap pelbagai perkara.

“Saya menggunakan tempoh lima bulan untuk mengkaji tentang orang Melayu di Pulau Pinang. Saya merancang untuk mengadakan Festival Melayu, mungkin dalam bulan September ini.

“Pasukan kami sedia untuk lancarkan festival ini. Mungkin kita boleh buat dalam kumpulan yang kecil dan melibatkan rakyat tempatan sahaja.

“Untuk masyarakat luar negara, saya akan adakan sesi siaran langsung di internet,” tambahnya. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen