Penafian MB tak cukup, Pakatan mahu RCI skandal hartanah Johor ditubuhkan 


Ikhwan Zulkaflee

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Johor pada sidang media yang diadakan sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Johor tamat. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Disember, 2017.

WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) Johor bertegas mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) berhubung skandal hartanah di negeri tersebut. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi, penafian Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin yang dirinya terlibat dalam skandal tersebut sebentar tadi adalah tidak mencukupi. 

“Kami tidak berpuas hati dengan penjelasan MB (menteri besar) kerana, pertama sekali dokumen tersebar itu telah disahkan (ketulenannya) oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata Wong dalam satu sidang media bersama oleh wakil rakyat Pakatan Harapan sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tamat. 

“Dokumen itu tulen dan terdapat beberapa dakwaan yang terkandung di dalamnya yang saya tidak akan sebut,” katanya lagi.

Jelas Wong, Khaled hanya menjelaskan mengenai dakwaan mengaitkannya dengan rasuah namun tidak menyentuh isu lain yang dibangkitkan dalam dokumen kenyataan saksi SPRM setebal 140 muka surat yang tular di Internet. 

“Kita perlukan penjelasan dan kami berpendapat tidak seharusnya MB berlindung di sebalik OSA (Akta Rahsia Rasmi 1972).”

Sebaliknya, tegas Wong, satu RCI harus ditubuhkan bagi merungkai isu tersebut. 

“Lebih baik untuk kerajaan negeri mencadangkan penubuhan RCI untuk menyiasat kes ini dengan terperinci.”

Wong turut berkata, adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjelaskan bahagian manakah dalam dokumen siasatannya yang dibocorkan itu terdapat perkara yang ditambah atau direka. 

Beliau berkata demikian apabila disoal sama ada beliau masih mempercayai kesahihan maklumat dimilikinya itu, susulan kenyataan SPRM dan laporan polis oleh saksi kes itu sendiri bahawa terdapat perbezaan dalam kenyataan yang diberikannya kepada suruhanjaya berkenaan berbanding dengan apa yang ditularkan di internet. – 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen