Ekonomi B40 sukar pulih akibat birokrasi, PBT tidak simpati


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim

Kebanyakan peniaga kecil golongan B40 mendakwa permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan diumumkan kerajaan ketika PKP, ditolak oleh pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

ATAS kertas, Mohamad Zin Jani sepatutnya jadi “Makcik Kiah” versi lelaki – satu contoh tipikal dicipta oleh Putrajaya untuk menunjukkan bagaimana skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan membantu keluarga golongan berpendapatan rendah meneruskan hidup dalam pandemik Covid-19.

Ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim Prihatin, beliau berkata Makcik Kiah akan menerima sejumlah kira-kira RM8,600 bantuan daripada tunai, kepada penjimatan sewa hinggalah pinjaman mikro.

Seperti Makcik Kiah, Zin juga penjual pisang goreng yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Lembah Klang, di mana pendapatannya musnah apabila ekonomi ditutup ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

Namun, di situ saja persamaannya, kerana Zin melihat hanya satu perlima atau 18% saja daripada apa yang sepatutnya diterima oleh Makcik Kiah.

Zin, 66, membuat permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kerajaan negeri Selangor, tetapi berulang kali permohonannya ditolak.

Permohonannya ditolak walaupun ada harinya, beliau hanya dapat RM10 hasil jualan pisang gorengnya di gerai tepi jalannya di Puchong.

Apa yang berlaku pada Zin turut dirasai oleh sembilan keluarga B40 yang ditemubual The Malaysian Insight baru-baru ini, tentang bagaimana mereka bangkit semula selepas Malaysia membuka kembali hampir semua sektor ekonomi pada 1 Julai.

Semua yang ditemubual bercakap tentang masalah birokrasi dalam membuat permohonan mendapatkan bantuan kerajaan, dan sering ditolak oleh perkhidmatan awam menyukarkan keluarga B40 yang cuba untuk memulakan hidup sebagai usahawan kecil.

Kerajaan Perikatan Nasional begitu bangga kerana membantu golongan usahawan kecil dan sederhana menerusi skim Prihatin dan Penjana.

Namun peniaga kecil yang ditemui berkata mereka tidak buat permohonan daripada skim itu atasa alasan yang sama seperti disebut Zin.

Menambah kesukaran mereka, Zin dan aktivis masyarakat di kawasan perumahannya mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup perniagaan mereka dan ada kalanya barangan meniaga mereka dirampas atas alasan menghalang lalu lintas.

“Pegawai PBT masih mengganggu ketika kami cuba untuk bangkit semula berniaga,” kata Zin, merujuk kepada pegawai Majlis Perbandaran Subang Jaya.

V Kabilan, yang bantu mengagihkan bantuan dan sumbangan daripada kumpulan persatuan sivil di flat Puchong Perdana, berkata MPSJ tidak bersimpati terhadap golongan miskin.

“Di tepi jalan, seorang wanita miskin jual buah, ditutup gerainya. Dia hanya cuba mencari sedikit pendapatan tetapi MPSJ menghalangnya.

“Bagaimana rakyat hendak pulih daripada krisis ini jika MPSJ asyik meronda dan mengganggu mereka?”

Pentadbiran Muhyiddin mengumumkan pelbagai jenis skim pinjaman dan latihan digital bagi membantu peniaga kecil dan sederhana dalam menangani gangguan aliran tunai akibat PKP.

Peniaga kecil mendakwa PBT tutup perniagaan mereka dan ada kalanya barangan meniaga mereka dirampas atas alasan menghalang lalu lintas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

Aktivis masyarakat seperti Kabilan mendakwa agihan bantuan langsung seperti bungkusan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pun tidak seimbang.

Di Pulau Pinang, peniaga nasi campur Hassan Sidek berkata beliau tidak sempat hendak memohon lesen perniagaan kerana terlalu sibuk menjaga isterinya yang sakit.

“Kerana saya tidak ada lesen, saya tidak dapat sebarang bantuan. Prosesnya juga terlalu rumit,” kata Hassan, 60, yang pendapatan terjejas 90% akibat PKP.

“Saya harap dalam krisis seperti ini, kerajaan boleh mencari cara memberikan bantuan perniagaan tanpe memerlukan seseorang itu ada lesen.”

David, pemilik kedai kecil menjual barangan elektrik juga ada mendengar tentang pinjaman dengan faedah rendah di bawa skim Prihatin dan Penjana, yang bertujuan membantu perniagaan sepertinya.

“Saya malas hendak buat permohonan kerana banyak sangat kertas kerja, dan anda perlu naik turun jabatan kerajaan. Saya pernah mohon sebelum ini dan ditolak. Buang masa saja,” katanya.

Zin berkata beliau malas hendak mohon geran khas tanpa bayaran balik RM3,000 untuk usahawan kecil sepertinya, atas alasan yang sama.

“Saya isi banyak borang, banyak kali untuk dapat bantuan sebagai bapa tunggal dan saya ditolak. Kenapa saya hendak bazirkan masa saya? Saya sudah tua,” katanya.

Harun Yaakob, seorang lagi aktivis masyarakat di Puchong Perdana, berkata beliau percaya masalah itu berpunca daripada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab meluluskan permohonan itu, yang tidak tahu realiti nasib golongan bawahan.

“Contohnya, warga emas mohon bantuan kebajikan dan pegawai lihat pemohon itu ada lima anak dewasa. Jadi dia fikir setiap anak boleh sumbang RM100 sebulan untuk bantu bapa mereka. Jadi, pegawai itu tolak permohonan.”

Harun berkata apa yang pegawai itu tidak nampak ialah lima anak dewasa itu pun berdepan masalah kewangan dan tidak menerima gaji minimum kerana bekerja sebagai pekerja kilang atau pengawal keselamatan.

“Masalahnya ialah pegawai ini tidak turun padang melihat sendiri betapa sukarnya kehidupan golongan miskin.”

Kabilan berkata ada satu insiden ketika PKP di mana pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang untuk mengedarkan bungkusan makanan.

“Mereka pergi sebuah rumah, mereka nampak keluarga itu ada televisyen. Jadi, mereka tidak beri bantuan makanan kerana mereka fikir anda ada Astro, maka duit anda cukup.

“Mereka tidak sedar yang keluarga itu tidak ada pendapatan langsung kerana PKP dan tidak mampu beli barangan makanan.

“Akhirnya, JKM yang datang dengan 50 beg makanan, tetapi hanya beri kepada lima isi rumah.” – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen