Tindakan Trump boleh cetus keganasan, kata Liga Arab


KETUA Liga Arab pada Ahad berkata keputusan Presiden AS Donald Trump untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel sekiranya menjadi kenyataan, akan meningkatkan fanatikisme dan keganasan serta tidak membantu proses damai Israel-Palestin.

Menantu Trump yang juga merupakan envoi keamanan Timur Tengah, Jared Kushner berkata yang presiden semakin hampir membuat keputusan sama ada mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel. Kushner bercakap pada Forum Saban pada Ahad.

“Malangnya ada pihak yang bertegas bertindak demikian tanpa memikirkan bahaya kepada kestabilan Timur Tengah dan seluruh dunia,” kata Ahmed Abul Gheit, ketua Liga Arab kepada wartawan di Kaherah pada Ahad.

Abul Gheit berkata Liga Arab sedang mengikuti rapat perkembangan isu itu dan sedang berhubungan dengan pihak berkuasa Palestin serta negara Arab lain bagi menyelaras tindakan bersama sekiranya Trump bertindak demikian.

Trump perlu memutuskan pada Isnin sama ada akan menandatangani kebenaran undang-undang yang membolehkan pelan pemindahan kedutaan AS di Tel Aviv dipindahkan ke Jerusalem ditangguhkan untuk enam bulan lagi.

Setiap presiden AS berbuat demikian sejak 1995, merasakan masa belum tiba untuk berbuat demikian dan Trump dijangka perlu bertindak demikian untuk kali kedua sejak mentadbir Amerika. 

Tetapi, menurut sumber diplomatik dan pemerhati, beliau dijangka mengumumkan dalam ucapannya pada Rabu yang beliau menyokong tuntutan Israel yang mahukan Jerusalem sebagai ibu kota negara itu.

Pemimpin Palestin sedang berusaha melobi supaya ia tidak berlaku, bimbang ia akan cetuskan keganasan di dunia Arab yang boleh melengahkan proses damai bergenerasi lamanya.

“Tiada apa yang menjustifikasi tindakan ini…ia tidak akan memberi kesan baik kepada keamanan atau kestabilan, sebaliknya ia akan mencetuskan fanatikisme dan keganasan,” kata Abul Gheit.

Tindakan itu hanya “memberi manfaat kepada satu pihak sahaja, iaitu kerajaan Israel yang anti keamanan,” katanya kepada wartawan.

Israel menakluk Timur Jerusalem dan Tebing Barat pada 1967. Ia kemudiannya mengambil alih Timur Jerusalem, tindakan yang sehingga kini tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Rakyat Palestin menganggap bahagian Timur Jerusalem sebagai ibu kota negara mereka.

Pendirian tradisi Amerika Syarikat selama ini adalah status Jerusalem perlu dirunding oleh kedua-dua pihak bertelagah. – AFP, 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen