AS mahu iktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel


Amerika Syarikat dikatakan mahu mengiktiraf dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Jerusalem, tindakan yang dilihat boleh memburukkan situasi rantau bergolak Israel-Palestin itu. – Gambar AFP, 4 Disember, 2017.

PEMIMPIN Palestin sedang berusaha mendapatkan sokongan diplomatik untuk memujuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya tidak mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel selepas wujud ura-ura beliau akan berbuat demikian.

Presiden Palestin Mahmud Abbas sudah membuat panggilan telefon kepada beberapa orang pemimpin dunia bagi “menjelaskan bahaya keputusan untuk memindahkan kedutaan ke Jerusalem atau mengiktiraf (Jerusalem) sebagai ibu kota negara Israel”, kata penasihat diplomatik Abbas, Majdi al-Khalidi kepada AFP.

Panggilan telefon itu setakat ini sudah dibuat kepada pemimpin Arab, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Beliau juga sudah berbincang dengan musuh Palestinnya, Hamas, dan kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk mengadakan bantahan pada Rabu ini, kata laporan dikeluarkan Hamas.

Erdogan memberitahu Abbas yang negara merdeka Palestin perlu mempunyai Jerusalem Timur sebagai ibu kota negaranya, lapor agensi berita Turki, Anadolu.

Abbas juga dikatakan sedang berusaha bertemu dengan pemimpin Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab bagi membincangkan isu itu.

Saeb Erekat, setiausaha agung Organisasi Pembebasan Palestin dan Ketua Perisikan Pihak Berkuasa Palestin Majed Farraj juga sudah bertemu di Washington, kata Khalidi.

Katanya, Abbas memberikan amaran “kesan buruk keputusan seumpama itu yang akan menggugat proses dan usaha perjanjian damai.”

Erekat dalam kenyataan dikeluarkan pada Ahad berkata pengiktirafan itu akan “menggalakkan anarki antarabangsa dan tidak menghormati institusi global”, dan Amerika Syarikat akan “membatalkan kelayakan negara itu untuk memainkan apa sahaja peranan dalam sebarang inisiatif mencapai keamanan dan keadilan berpanjangan” di rantau itu.

Hamas yang mengawal Tebing Gaza pada Sabtu mahu melaksanakan “intifada” baru jika Washington mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel atau memindahkan kedutaanya ke dalam bandar yang menjadi rebutan pihak bertelagah itu.

Abbas bercakap dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniya pada Ahad, menurut kenyataan dikeluarkan Hamas dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menentang apa sahaja perubahan dalam dasar AS.

Kerjasama antara kedua pihak itu yang sangat jarang berlaku ketika usaha perdamaian dua musuh tradisi itu semakin membuahkan hasil.

Mereka bersetuju untuk menyokong bantahan “di mana sahaja” pada Rabu.

Trump dijangka memutuskan pada Isnin sama ada untuk memindahkan Kedutaan Amerika di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem, keputusan yang dilihat bertentangan dengan dasar sebelum ini dan tidak selari dengan dasar kuasa dunia lain.

Sejak 1995, sudah wujud undang-undang AS yang menyatakan Kedutaan AS di Israel perlu dipindahkan dari Tel Aviv ke Jerusalem selaras dengan hasrat kerajaan Israel. – AFP, 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen