Hanya 'sebilangan kecil' juruterbang warga Pakistan di negara ini, kata pihak berkuasa


Noel Achariam

Syarikat penerbangan dalam negara mengesahan mereka hanya menggaji juruterbang warga tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

HANYA sebilangan kecil warga Pakistan yang memegang lesen penerbangan di negara ini, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Jurucakap CAAM bagaimanapun enggan mendedahkan angka sebenar juruterbang berkenaan yang bekerja di negara ini.

“Tak perlu bimbang, tidak ramai yang ada. Hanya sebilangan kecil,” kata jurucakap berkenaan kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, syarikat penerbangan nasional dan syarikat penerbangan tambang murah mengesahkan mereka tidak menggaji juruterbang warga Pakistan.

Pengarah hal ehwal kerajaan dan perhubungan awam Malindo Airways memberitahu The Malaysian Insight kesemua jurruterbang mereka adalah rakyat Malaysia.

“Kami mengambil 100% juruterbang rakyat Malaysia yang memegang lesen penerbangan yang dikeluarkan kerajaan, dan tiada warga asing,” katanya.

Syarikat tambang murah AirAsia dan AirAsia X turut mengesahkan mereka tiada juruterbang warga Pakistan.

Malaysia Airlines ketika dihubungi turut menyatakan mereka tiada juruterbang warga Pakistan.

Semalam, CAAM berkata pihaknya menggantung sementara lesen penerbangan juruterbang Pakistan yang bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan berikutan sementara menunggu pengesahan lesen mereka.

Penggantung itu berikutan pendedahan yang dibuat Menteri Penerbangan Pakistan, Ghulam Sarwar Khan mengenai jumlah juruterbang Pakistan yang memegag lesen penerbangan palsu yang membimbangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Chester Voo berkata, penggantungan sementara itu adalah untuk keselamatan penerbangan awam Malaysia.

Tambah Voo, pihak berkuasa penerbangan itu kini berusaha untuk mengesahkan ketulenan lesen oleh pemegangnya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Pakistan (PCAA).

Menurut PCAA, 40% juruterbang, termasuk yang tidak aktif, memiliki lesen palsu, manakala 262 daripada 860 juruterbang Pakistan yang aktif tidak menduduki peperiksaan juruterbang.

Beberapa negara mengambil langkah untuk menggantung perkhidmatan juruterbang Pakistan dan syarikat penerbangan Pakistan International Airlines (PIA) daripada beroperasi di dalam dan luar negara mereka. – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen