Kerana rencana ditulis 30 tahun lalu, ketua komunikasi Boeing letak jawatan


Ketua Komunikasi Boeing Niel Golightly meletak jawatan selepas rencana ditulisnya lebih 30 tahun lalu mendedahkan pandangannya yang menghina dan merendahkan wanita. – Gambar AFP, 3 Julai, 2020.

KETUA komunikasi Boeing meletak jawatan semalam selepas wujud aduan mengenai rencana ditulisnya lebih 30 tahun lepas yang mencadangkan wanita tidak wajar terlibat dalam perang.

Perletakan jawatannya berlaku ketika syarikat AS mula memeriksa semula budaya korporat mereka susulan protes berminggu lamanya di negara itu menentang rasisme dan keganasan polis, susulan pembunuhan George Floyd dilakukan seorang anggota polis kulit putih.

Niel Golightly meletak jawatan di Boeing selepas hanya beberapa bulan menjawat jawatan itu.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata rencana itu “adalah hasil kerja juruterbang tentera era Perang Dingin yang salah panduan untuk sumbangan kepada debat yang berlaku ketika itu.”

“Hujah saya sangat memalukan, salah dan menghina,” kata Golightly, menambah yang dialog selepas itu “membuka mata salah, mengubah pemikiran saya dan membentuk prinsip keadilan, kebersamaan, hormat dan kepelbagaian yang memandu kerjaya profesional saya sejak itu.”

Perletakan jawatannya berlaku ketika Boeing berusaha pulih selepas krisis menyaksikan pesawatnya 737 MAX tidak dibenarkan terbang sejak Mac susulan dua nahas dan industri penerbangan sedang melawan wabak Covid-19 yang menyebabkan sekatan perjalanan dan perintah berkurung.

CEO Boeing David Calhoun berkata beliau dan Golightly sudah berbincang tentang rencana itu “panjang lebar” dan membincangkan “kesannya terhadap peranannya sebagai jurucakap syarikat.”

“Saya mahu menekankan yang komitmen syarikat untuk kepelbagaian dan kebersamaan dalam semua dimensi tidak goyah,” kata Calhoun.

CEO Boeing itu pada awal Jun lalu sudah menghantar isyarat yang beliau mahu memperhebat dialog pelbagai topik dalam budaya korporat syarikat. – AFP, 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen