Betulkah Melayu lagi ramai di bandar, dan paling kaya di Malaysia?


SEORANG ahli Parlimen DAP baru- baru ini mengemukakan “fakta” mengenai kaum Bumiputera. 

“Fakta” pertama beliau ialah majoriti kaum Bumiputera tinggal di bandar, dan 56% orang bandar ialah kaum Melayu.

Manakala “fakta” kedua, terdapat lagi ramai golongan kaya (top 10%) dari kalangan Bumiputera berbanding kaum Cina.

Malangnya, “fakta” sebegini tidak menggambarkan keadaan sebenar. 

Mereka menggunakan data seperti pemabuk menggunakan tiang lampu, bersandar supaya tidak jatuh tersungkur. Data tidak digunakan untuk mendapat cahaya kebenaran.  

Kenyataan ahli Parlimen itu boleh kita katakan berpura-pura untuk bersikap objektif. Konon ia tidak berat sebelah dengan mengemukakan naratif “fakta” yang berdasarkan data.

Akan tetapi, salah tetap salah. 

Menilai fakta

Mari kita lihat sejujur-jujurnya.

Begini, fakta pertama mengenai orang bandar. 

Benar, 75% penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar pada tahun 2016, di mana majoriti atau 56% adalah bumiputera. Tetapi pelajar sekolah menengah pun tahu angka sebegini buang masa sahaja. 

Memanglah orang bandar lagi ramai Bumiputera sebab hampir 7 daripada 10 rakyat Malaysia adalah Bumiputera berbanding 23%  Cina dan 7%  India. Yang kita ingin tahu, daripada seratus orang Bumiputera, berapa yang tinggal di bandar berbanding kaum lain? 

Jawapannya begini: Daripada 100 isi rumah kaum Bumiputera, 71 tinggal di bandar. Daripada 100 isi rumah kaum Cina, 90 tinggal di bandar. Daripada 100 isi rumah kaum India, 94 tinggal di bandar.

Nah, “fakta” lebih ramai Bumiputera di bandar tak betul. Bukan “fakta” tetapi bahkan satu mitos.

Ini juga menunjukkan lebih ramai kaum Cina dan India berada di bandar berbanding Bumiputera.

Kita harus ingat takrif “bandar” adalah sekiranya terdapat penduduk 10,000 atau lebih dengan sekurang-kurangnya 60% populasi (berumur 15 tahun dan ke atas) terlibat dalam aktiviti bukan pertanian. 

Ini bermaksud Tangkak di Johor atau Rompin atau Raub di Pahang juga dikira “bandar”, Baling di Kedah juga dikira “bandar”, dan setaraf dengan Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Baru dan George Town. 

Sekiranya kita mengira bilangan penduduk mengikut kaum di negeri maju sahaja (Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor), hanya 40 daripada 100 isi rumah Bumiputera yang tinggal di empat negeri ini berbanding 60 daripada 100 isi rumah kaum Cina dan hampir 70 daripada 100 isi rumah kaum India.  

Seandainya kita beri tumpuan kepada Kuala Lumpur sahaja (magnet kekayaan), daripada 100 orang Bumiputera, hanya 5 isi rumah tinggal di Kuala Lumpur, berbanding orang Cina (11 daripada 100) dan India (10 daripada 100). 

Di beberapa bandar utama terpilih (Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Gombak, Hulu Langat, Johor Bahru dan Georgetown), daripada 100 Bumiputera hanya 26 isi rumah tinggal di bandar-bandar tersebut, berbanding 44 di kalangan orang Cina dan 52 di kalangan India. 

Nah, masih betulkah orang Bumiputera majoriti di bandar? Tidak betul, bukan? Ini adalah matematik mudah.

Walaupun di kawasan bandar, perbezaan pendapatan jelas dengan pendapatan isi rumah bagi Bumiputera selalu lebih rendah berbanding dengan kaum Cina.

Bagi setiap RM1.00 yang diperoleh Bumiputera, orang Cina memperoleh lebih sehingga 30 sen (RM1.30).

Seterusnya, “fakta” kedua adalah kononnya lebih ramai yang kaya daripada golongan Bumiputera. Adoi, ahli Parlimen DAP itu suka putar belit data, letih untuk kita betulkan. Tidak mengapa, penulis rajin hari ini. 

Kita kira macam contoh di atas, jika ada 100 isi rumah kaum Bumiputera, berapa ramai termasuk di golongan 40% terbawah (B40) and 10% teratas (top 10)? 

Mari kita gunakan data-data yang dibekalkan oleh ahli Parlimen itu sendiri.

Daripada 100 isi rumah kaum Bumiputera, 67 dalam kelompok miskin (B40) dan hanya 6 adalah geng kaya (di kelompok T10)

Daripada 100 isi rumah kaum Cina, hanya 6 dikira miskin (B40) dan 15 dalam T10.

Daripada 100 isi rumah kaum India, 56 dikira miskin (B40) dan  8 dalam T10

Jelas, Bumiputera paling ramai miskin, dan paling sedikit kaya. Ini adalah data isi rumah.

Jika kita lihat data individu pula, daripada 50 billionaire, 72% adalah daripada kaum Cina. 

Data daripada Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) juga menunjukkan situasi yang sama, hanya 2 dari 100 pekerja Bumiputera mendapat gaji lebih daripada RM10,000 sebulan, berbanding 6 dari 100 untuk kaum bukan Bumiputera. 

Lihat pula pegangan dalam sektor pasaran saham. Pegangan saham individu Bumiputera hanyalah 0.7%, berbanding 7.1% oleh kaum bukan Bumiputera. 

Mana datangnya fakta orang Bumiputera lebih ramai yang kaya? Fake news, bukan?

Mitos malas

Mitos sebegini, sama seperti Melayu miskin sebab malas, dan Cina kaya sebab rajin, haruslah dinyahkan. Tiada langsung kajian akademik yang berkualiti yang menyokong mitos tersebut. 

Malah, kajian hebat Prof Syed Hussein Alatas menunjukkan orang Melayu ramai yang rajin (dan yang malas adalah kelompok aristokrat, ahli politik dan ahli perniagaan yang makan rasuah dan suka jual beli kontrak). 

Sikap rajin bukan milik mutlak sesuatu kaum, begitu juga sikap malas, menipu, jahat, mencuri dan segala sifat yang jelik.

Harus ditekankan di sini, kita harus akui ada kaum Cina yang miskin, dan ada kaum Bumiputera yang kaya. 

Polisi menghapuskan kemiskinan haruslah diguna pakai untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Ini tidak boleh ditolak ansur. 

Pada masa sama, jurang antara kaya dan miskin, antara bandar dan desa, dan antara kaum haruslah diatasi. 

Tetapi yang penting, sebelum kita membuat dasar, fakta yang benar haruslah digunakan dan dihormati. 

Jadilah manusia yang jujur demi membantu semua rakyat Malaysia. – 3 Julai, 2020.

* Megat Shahrizal Amir adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen