Ejen bingung Putrajaya beku program Malaysia Rumah Keduaku


Khoo Gek San

Program Malaysia Rumah Keduaku membolehkan pesara warga asing membeli dan menetap di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

TINDAKAN Putrajaya membekukan permohonan baharu program Malaysia Rumah Keduaku (MMH2) yang sudah menarik RM40 bilion masuk ke negara ini sehingga diberitahu kelak, membingungkan ejen dan pemohon.

Keputusan itu dimaklumkan dalam sepucuk surat bertarikh 29 Jun dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (Motac) yang mengumumkan penutupan pusat MM2H di kementerian dan pemindahannya ke Jabatan Imigresen di Putrajaya.

Presiden Persatuan Ejen Malaysia Rumah Keduaku Lim Kok Sai memberitahu The Malaysian Insight yang sehingga sekarang ejen masih tidak mengetahui punca sebenar keputusan diuat dan keliru tentang keputusan mengejut menghentikan permohonan baharu.

Penggantungan permohonan baharu itu berlaku selepas 90% permohonan dihantar tahun lepas pada September, Oktober dan November ditolak tanpa sebarang sebab diberikan kepada ejen.

Ia adalah kadar penolakan tertinggi ke atas pemohon visa MM2H sejak 14 tahun lalu. Program itu membenarkan pesara warga asing untuk memiliki rumah dan tinggal di Malaysia sudah menarik masuk RM40 bilion ke negara ini sejak dimulakan pada 2002.

Lim berkata hampir 1,000 permohonan ditolak dalam tempoh September sehingga November tahun lepas.

Ia berlaku sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa untuk mengekang penularan Covid-19, yang juga menganggu kerja ejen.

“Sepanjang PKP, ramai ejen terpaksa membatalkan temujanji mereka kerana kaunter permohonan ditutup,” kata Lim lagi.

Program MM2H sudah menarik masuk RM40 bilion sejak dimulakan pada 2002. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

Apabila negara mula memasuki fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula, ejen berharap dapat menyambung membuat permohonan baharu, tetapi dikejutkan dengan perubahan mendadak yang memindahkan pusat MM2H dari Motac ke Jabatan Imigresen.

Tiada sebab diberikan dalam surat dihantar kepada ejen memaklumkan pusat MM2H akan ditutup berkuatkuasa 1 Julai.

“Unit Imigresen MM2H akan dipindahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia bermula 6 Julai 2020. Maka, semua isu berkaitan imigresen boleh dihubungkan secara terus kepada ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia.

“Disebabkan penutupan pusat, semua permohonan baharu tidak akan diterima sehingga diberitahu kelak,” kata Motac dalam surat itu.

Persatuan Konsultan MM2H dijangka mengadakan sidang media hari ini (2 Julai) berkaitan isu ini.

Malaysia kini berada dalam PKPP sehingga 31 Ogos.

Di bawah PKPP, kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula, malah tempat dan aktiviti himpunan ramai dan kontak rapat juga perlahan-lahan diberikan kebenaran beroperasi, tetapi perlu mengikut syarat, peraturan dan SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Sejak bermulanya PKP pada Mac lalu, Putrajaya juga menutup pintu sempadan untuk semua warga asing kecuali kategori tertentu.

Pemegang visa MM2H juga tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, menyebabkan hampir 200 orang tersadai di luar negara.

Bulan lepas, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata duta, kakitangan diplomatik dan pemegang visa MM2H kini boleh memasuki Malaysia.

Tambahnya, sempadan negara masih ditutup kecuali untuk kategori dan jenis perjalanan tertentu termasuklah pelajar dan pekerja.

Program MM2H dilancarkan pada 2002 dengan majoriti pemohon adalah warga China, diikuti Jepun, Bangladesh, United Kingdom dan Korea Selatan. – 2 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen