Malaysia Rumah Keduaku sumbang RM40 bilion kepada negara 


Khoo Gek San

Malaysia masih ketinggalan di belakang Thailand dan Filipina dari segi kepantasan kelulusan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2019

PROGRAM Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menjana sebanyak RM40.6 bilion kepada negara daripada 2001 hingga 2018, dengan RM5.5 bilion datang dari pembelian hartanah, menurut Presiden Persatuan Ejen Program MM2H Lim Kok Sai.

Program penduduk asing Malaysia telah meluluskan visa untuk 21,841 warga asing untuk tempoh yang sama.

Lim berkata, pelaburan pemegang visa ini paling diketahui dalam sektor hartanah, vila, rumah bandar yang menjadi pilihan utama.

Tahun lepas sahaja, pembelian hartanah oleh pemohon yang berjaya melibatkan 500 unit dengan jumlah keseluruhan lebih RM600 juta.

Kebanyakan pemegang visa MM2H memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur, diikuti dengan Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Lim berkata pememgang visa juga membawa masuk pendapatan kepada Malaysia dari segi perbelanjaan, deposit akaun bank, rawatan perubatan, pelancongan dan pembelian seperti kereta dan perabot.

“Perbelanjaan mereka secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Tahun lalu, 3,339 daripada 6,279 pemohonan warga asing diluluskan. Pemegang visa yang berjaya ini menyumbang RM2.8 bilion pendapatan, kata Lim.

Warganegara China merupakan kumpulan pemohon berjaya terbesar, iaitu seramai 1,495. Ini diikuti Korea Selatan (449) dan Jepun (223).

Baki warga asing yang mempunyai visa MM2H adalah dari Hong Kong, Bangladesh, Britain, Amerika Syarikat, Taiwan, India dan Australia.

Untuk 2019, Lim menjangkakan 5,000 pemohon dengan potensi pendapatan sebanyak RM4 bilion.

Lim berkata menurut maklum balas daripada ahli ejen, sebab utama warga asing mengambil visa MM2H adalah kerana untuk melabur dalam hartanah di bandar di Malaysia, memberi pendidikan kepada anak-anak mereka di institusi swasta di negara ini dan bersara di Malaysia.

Rakan setugas Lim, timbalan pengerusi persatuan itu, Kurt Tan menyedari peningkatan jumlah pemohon dari Hong Kong, diikuti Korea dan India.

Beliau juga menyedari pertumbuhan persaingan dari negara jiran seperti Thailand dan Filipina yang melancarkan program persaraan mereka sendiri untuk menarik warga asing dan pelaburan hartanah.

“Malaysia masih ada kelebihan dari segi bahasa, sama ada bahasa Inggeris, Cina, Melayu atau Tamil. Kos sara hidup kita rendah, masyarakat di sini juga peramah, politik yang stabil dan tiada bencana alam,” kata Tan.

Naib presiden persatuan itu Anthony Liew berkata, bagaimanapun Malaysia masih ketinggalan di belakang Thailand dan Filipina dari segi kepantasan kelulusan.

Ketika dua negara jiran itu meluluskan visa kepada pemohon di bawah program persaraan mereka, proses pemohonan visa MM2H pula boleh mengambil masa sehingga sembilan bulan.

“Sebelum ini ia cepat, dalam tempoh dua bulan. Tetapi kini ia mengambil masa enam hingga sembilan bulan.

“Sedangkan Thailand dan Filipina boleh melengkapkan proses dan memberi kelulusan dalam tempoh dua bulan.”

Program MM2H juga perlu menjelaskan persepsi yang salah, terutamanya di China, bahawa pemohon akan menerima kad pengenalan merah Malaysia untuk pemastautin tetap.

Lim berkata, ejen perlu kerap menjelaskan kepada pemohon China bahawa ianya tidak benar dan visa MM2H hanya visa 10 tahun yang boleh diperbaharui. – 7 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen