Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang direman 4 hari


Zaim Ibrahim

Kumpulan ahli DAP menunggu di luar Balai Polis Bayan Lepas untuk solidariti Jeffrey Chew Gim Eam yang direman empat hari, antara yang hadir termasuklah Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Adun Sri Delima Syerleena Abdul Rashid. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

BEKAS pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Peguamnya, RSN Rayer berkata pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon reman tujuh hari tetapi mahkamah hanya membenarkan empat hari.

“Pihak SPRM telah memohon tahanan reman untuk tujuh hari. Kami telah membantah dan setelah mendengar hujahan majistret menerima reman selama empat hari, berakhir hari Sabtu ini,” katanya selepas prosiding reman selesai di Balai Polis Bayan Baru.

Rayer bagaimanapun enggan mendedahkan siasatan ke atas Chew dibuat di bawah akta mana.

“Saya tidak boleh beri maklumat lain. Ia berkenaan satu penyiasatan oleh pihak SPRM, difahamkan laporan itu dibuat baru-baru ini jadi butir lanjut tidak boleh diulas. 

Ia masih dalam siasatan, kita akan terus bela beliau. Kami percaya beliau tidak buat sebarang kesalahan,” tambahnya.

Cheah akan diwakili peguam Rayer, Gobind Singh (Ahli Parlimen Puchong) dan Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Jelutong).

Semalam, Cheah yang juga bekas timbalan bendahari DAP Pulau Pinang itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, pada jam 2 petang.

“Ya, betul dia ditahan pada jam 2 petang hari ini berhubung siasatan kes terowong.

“Kes berkenaan dibuka kembali selepas SPRM menemui beberapa bukti baru,” kata sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

Projek tersebut bernilai RM6.3 billion.

SPRM dalam satu kenyataan 4 Mac tahun lalu mengesahkan membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,” kata agensi itu.

Sumber turut berkata, lebih ramai saksi terdiri daripada pegawai kanan kerajaan Pulau Pinang akan disiasat.

Menurut sumber, antara yang menjadi perhatian adalah bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Dakwaan kes rasuah itu didedahkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut.

Jelasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen