Bekas pengerusi suruhanjaya pelabuhan Pulau Pinang ditahan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seorang bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan agensi antirasuah hari ini berhubung satu siasatan disyaki berkaitan projek pembinaan terowong dalam laut di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

SEORANG bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan agensi antirasuah hari ini berhubung satu siasatan disyaki berkaitan projek pembinaan terowong dalam laut di negeri itu.

Menurut sumber, Jeffrey Chew ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu.

“Ya, betul dia ditahan pada jam 2 petang hari ini berhubung siasatan kes terowong.

“Kes berkenaan dibuka kembali selepas SPRM menemui beberapa bukti baru,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber itu, SPRM akan memohon perintah tahanan reman esok dan menjangka lebih ramai lagi akan disiasat.

“Ramai lagi saksi akan dipanggil terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Menurut sumber, antara yang menjadi perhatian adalah bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Selain itu, beberapa saksi sudah dipanggil termasuk anggota exco Pulau Pinang, pegawai pejabat kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

SPRM juga dipercayai sedang memeriksa kediaman Chew di Batu Ferringhi.

SPRM dalam satu kenyataan 4 Mac tahun lalu mengesahkan membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,” kata agensi itu dalam kenyataan 4 Mac tahun lalu.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek tersebut.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menegaskan dakwaan itu adalah satu penipuan dan mengarut.

Jelasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen