Impak ekonomi mula gugat pusat tahfiz


Zainal Rashid Ahmad

APABILA pusat tahfiz menyebarkan poster merayu dana kecemasan – ia amat menyedihkan. Apalagi setelah imej pusat pendidikan Al Quran ini selama bertahun-tahun dicap dengan pelbagai imej negatif.

Bertambah malang lagi apabila pandemik Covid-19 menular, turut tersebar stigma kluster tahfiz.

Pusat tahfiz sudah bertahun-tahun lama dicurigai. Kewujudannya dianggap pembantut pendidikan moden bagi kanak-kanak Islam.

Malah, lebih teruk disifatkan sebagai antara penyebab umat Islam menjadi mundur dalam pendidikan moden.

Terdapat 1,030 pusat tahfiz dan 200 sekolah pondok yang berdaftar di seluruh negara. Kebanyakan kos operasi pusat tahfiz bergantung penuh pada yuran pelajar dan sumbangan masyarakat.

Setelah tiga bulan ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan, operasi pusat tahfiz mulai terjejas teruk.

Selain kegagalan mengutip yuran bulanan, sumbangan derma masyarakat turut merosot akibat kesan kemelesetan ekonomi.

“Kami masih menanggung gaji tenaga pengajar, kos selenggara bangunan dan menanggung pelajar yatim piatu atau yang tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga kerana isu kemiskinan,” kata mudir tahfiz di Kuala Selangor.

Sejak sedekad mengendalikan pusat tahfiz, katanya, inilah detik paling mencabar. Apalagi sejak awal operasi, yuran bulanan bukan pendapatan utama pusat tahfiz.

“70% pelajar tidak mampu langsung membayar yuran dan 20% yang lain hanya mampu menjelaskan sebahagian yuran,” kata mudir yang meminta nama dan pusat tahfiznya tidak didedahkan.

Pada masa sama, sejak lima bulan lalu, derma dan sumbangan masyarakat semakin merosot kerana impak kemelesetan ekonomi.

Angka sumbangan awam menjunam 70% sejak tiga bulan lalu.

“Kami berusaha menjual banyak produk menggunakan jenama pusat tahfiz sebagai cara menambahkan pendapatan, tetapi jualan jatuh 50% sejak hujung tahun lalu dan 80% mulai Mac,” katanya.

Sebagai usaha berterusan, poster rayuan bantuan sumbangan disebarkan setiap hari melalui hantaran media sosial dan perkongsian WhatsApp.

“Sejak tiga minggu usaha ini dibuat, angka sumbangan tetap tidak mencecah RM1 ribu,” katanya.

Pusat tahfiz ini mengalami bebanan melunaskan gaji tenaga pengajar dan pekerja. Selain kos menanggung pelajar yang tetap tinggal di pusat tahfiz kerana ketiadaan keluarga.

“Kita dapat melihat kekurangan sumbangan kerana penderma juga berdepan dengan krisis kewangan,” kata mudir itu lagi.

Apakah pilihan yang ada?

“Kami tiada aset kerana bangunan dan tanah pusat tahfiz ini berstatus waqaf,” katanya.

Selain itu, stok barangan produk makanan sunnah, buku-buku agama dan jubah yang diniagakan kini hampir tidak terjual.

“Kami menanggung lambakan stok tidak terjual dan aliran tunai tersangkut teruk,” katanya.

Ditanya mengenai apakah pengakhiran pusat tahfiznya: “Tak mungkin ditutup sebab ada 70 pelajar dan sebahagian sudah mencapai hafazan antara lima hingga sepuluh juzuk,” katanya.

Langkah memotong gaji tenaga pengajar dan pekerja sesuatu yang sukar dilakukan kerana kebanyakan bergaji kecil.

“Kami membayar gaji bulanan antara RM1,300 hingga RM1,800 sahaja dengan kenaikan minimum setiap tahun,” kata mudir.

Walaupun berusaha mendapatkan bantuan media massa, usaha tersebut gagal kerana beberapa syarat ketat.

“Kami tidak dibenarkan tampil menggunakan media massa bagi tujuan memungut bantuan kerana arahan kerajaan ialah dana hanya boleh dikutip melalui yayasan,” katanya.

Pada masa ini, kata mudir itu, syarat untuk menubuhkan yayasan tidak mudah terutama bagi sebuah pusat tahfiz yang kecil.

“Media massa hanya membenarkan akaun berstatus yayasan untuk bersiaran di media massa bagi memohon bantuan, tetapi pada masa yang sama, menubuhkan yayasan syaratnya amat ketat,” katanya.

Memandangkan pelajar kini kekal belajar secara berulang-alik setiap hari – kos makanan dan penyelengaraan tetap berjalan.

Pusat tahfiz dijangka akan kembali dibuka pada bila-bila masa, dan kos makan minum dan penyelenggaraan akan makin meningkat.

Mudir ini memikirkan beberapa pilihan yang ada.

“Langkah pertama ialah mengetatkan perbelanjaan dapur, selain mengawal bil air dan elektrik,” katanya.

Apa pun, mudir ini masih berusaha mendapatkan sumbangan masyarakat dengan mengirimkan poster rayuan derma melalui WhatsApp dan perkongsian di media sosial.

Apa yang dialami pusat tahfiz ini pastinya turut dialami lebih 1,000 pusat tahfiz di seluruh negara. Satu impak yang bakal menjejaskan 100 ribu pelajarnya. – 1 Julai, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen