PH Plus: Jangan menggilap kaca di luar


Ruhan Shahrir

PERLU dibezakan antara Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan Plus. Ini perlu jelas. Tapi ada pimpinan dalam parti komponen PH yang kabur. Kekaburan mereka ini tidak membantu proses pengukuhan PH.

PH bukan PH Plus. PH secara rasminya dianggotai oleh PKR, Amanah dan DAP. Ini merupakan tiga parti teras Pakatan Harapan. Ini perlu jelas.

Manakala Bersatu kem Dr Mahathir Mohamad bersama Parti Warisan Sabah membentuk apa yang dinamakan PH Plus.

Dan PH Plus secara rasminya bukan sebahagian daripada PH tetapi menjalin kerjasama dengan PH.

PH Plus terdiri daripada Warisan yang merupakan sebuah parti di Sabah. Warisan bukan parti nasional. Kesemua kerusi yang ditandingi oleh Warisan hanyalah di Sabah semata-mata. 

Tiada satu bahagian, hatta cawangan Warisan pun yang wujud baik di Semenanjung mahu pun di Sarawak.

Semua bahagian dan cawangan Warisan hanya wujud di Sabah sahaja. Ini bersesuaian dengan sifatnya sebagai parti negeri, bukan parti nasional.

Manakala Bersatu kumpulan Dr Mahathir pula masih belum menyelesaikan pertikaian mahkamah mereka dengan Bersatu kumpulan Muhyiddin Yassin. 

Pada sidang Parlimen, kumpulan Dr Mahathir adalah anggota Parlimen yang diletakkan di kerusi pembangkang bersama PH.

Kekuatan kumpulan ini hanya lima orang anggota Parlimen termasuk Dr Mahathir. 

Merebut semula Putrajaya

Ini perlu jelas apabila menanggapi persoalan yang timbul daripada krisis penamaan calon Perdana Menteri untuk PH dan PH Plus, atau pun dalam merangka strategi untuk menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya Parlimen dibubarkan.

Hubungan kerjasama antara PH dengan PH Plus lebih menjurus kepada usaha-usaha pragmatik untuk merebut kembali kekuasaan di Putrajaya. 

Setelah berlakunya “Langkah Sheraton” dan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH, Dr Mahathir tidak pernah memohon secara rasmi untuk Bersatu kumpulan beliau menganggotai semula PH. Dr Mahathir memilih untuk berada di luar kerangka rasmi PH. Ini juga perlu jelas. 

Ini berbeza dengan hubungan antara parti-parti komponen dalam PH. PKR, Amanah dan DAP membentuk satu persepakatan rasmi dalam satu wadah bersama.  

Setakat tulisan ini ditulis, dasar atau polisi yang dimeterai ketika PRU-14 masih lagi termaktub sebagai dasar kolektif bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga komponen parti PH.

Justeru itu, adalah menjadi suatu yang pelik lagi tidak masuk akal apabila pimpinan utama daripada Amanah yang dipimpin oleh Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng yang memimpin DAP kehilangan fokus apabila berhadapan dengan persoalan memilih calon PM untuk mewakili PH Plus.

Seharusnya Amanah dan DAP memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan PH melalui peneguhan kesepakatan bersama yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH dalam isu calon Perdana Menteri yang akan mewakili PH. 

Malangnya pimpinan Amanah dan DAP kehilangan fokus kepada PH sebaliknya menumpukan kepada PH Plus, yang bukan pun sebahagian daripada komponen parti yang ada dalam PH. 

Yang di dalam tidak difokuskan, yang di luar pula menjadi tumpuan. Pelik dan tidak masuk akal.

Apa sebab?

Justeru, apakah yang menjadi motivasi kepada hilangnya fokus pimpinan daripada Amanah dan DAP ini sehingga mereka terlepas pandang kepada keperluan untuk mengukuhkan PH?

Motivasi pertama tentunya kuasa. Keinginan untuk berkuasa kembali. Ini tentunya tidak salah, dan sememangnya menjadi matlamat mana-mana parti politik pun untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. 

Akan tetapi motivasi kuasa yang ingin dicapai oleh Amanah dan DAP ini bersandarkan kepada landasan atau premis yang salah. 

Pertamanya, premis bahawa kuasa pemerintahan hanya boleh dicapai melalui Dr Mahathir. Tanpa Dr Mahathir cita-cita untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan tidak akan tercapai. Dari mana premis ini muncul tidaklah diketahui. 

Siapa yang menjual idea ini tidaklah pula dapat ditentukan. Betul atau tidak premis ini hanyalah sebuah spekulasi bukan sesuatu yang pasti. 

Tetapi itulah yang dipercayai oleh pimpinan Amanah dan DAP sehinggakan mereka kehilangan fokus bahawa di dalam pertarungan politik baik jangka pendek mahu pun jangka panjang, sama ada untuk menjadi kerajaan pusat atau pembangkang kuat, yang sepatutnya diperkukuhkan adalah PH.

Keduanya, premis bahawa sokongan daripada masyarakat Melayu hanya akan diperolehi melalui Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri atau sosok yang dicalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Premis ini betul sebelum PRU14. 

Akan tetapi selepas PRU14 daripada data-data impirikal dan juga pandangan penganalisis politik tempatan, sokongan masyarakat Melayu terhadap Dr Mahathir ternyata sudah jatuh merudum. 

Dr Mahathir bukan lagi tarikan utama pengundi-pengundi Melayu. Ini fakta terkini.

Malahan usulan Dr Mahathir untuk menobatkan Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Malaysia telah mendapat tentangan hatta dari pemimpin politik Bumiputera di Sarawak mahu pun di Sabah sendiri. 

Justeru, fakta mengenai merudumnya sokongan terkini masyarakat Melayu dan penolakan pimpinan Bumiputera Sabah serta Sarawak terhadap usulan Mahathir itu sepatutnya menjadi panduan buat Amanah dan DAP di dalam mengalih semula fokus mereka kepada proses pengukuhan Pakatan Harapan.

Ketiganya, premis bahawa Anwar gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membawa PH kembali berkuasa di Putrajaya.

Premis ini mungkin sahaja betul. Anwar mungkin gagal mendapatkan nombor yang mencukupi untuk membawa semula PH ke Putrajaya. 

Tetapi apakah hanya kerana percaya pada premis ini maka fokus kepada pengukuhan PH perlu dikesampingkan? 

Apakah hanya kerana Anwar gagal untuk membawa jumlah yang mencukupi maka Amanah dan DAP perlu mendukung PH Plus dan melupakan PKR buat sementara waktu?

Kalau premis inilah yang menjadi alasan buat Amanah dan DAP dalam memposisikan diri mereka untuk mendukung Dr Mahathir dan usulan Mahathir mengenai calon Perdana Menteri Malaysia, maka Mat Sabu dan Guan Eng sudah silap fokus.

Baik kumpulan Dr Mahathir mahu pun Warisan secara rasminya bukan sebahagian daripada PH. Mereka berkerjasama dengan PH tetapi tidak menjadi anggota teras PH. 

Kumpulan Dr Mahathir mempunyai lima kerusi parlimen manakala Warisan pula punya sembilan kerusi.

Dengan kekuatan hanya 14 kerusi parlimen sahaja, PH Plus sebenarnya bukanlah berada pada posisi dominan untuk menentukan siapa yang layak menjadi calon PM Malaysia. 

Malahan khabar berita yang mengatakan bahawa Dr Mahathir mampu membawa jumlah yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional hanyalah bersifat spekulatif atau andaian semata-mata tanpa adanya sebarang kepastian. 

Dr Mahathir sendiri cuma ada 5 kerusi parlimen bersamanya. Dengan hanya 5 kerusi tanpa sokongan penuh dari organisasi parti mereka dan tanpa adanya jentera kerajaan yang boleh digunakan, sukar untuk mempercayai bahawa Dr Mahathir mampu menarik sekurang-kurangnya 112 anggota parlimen menyebelahi beliau.

Ini ditambah pula dengan tumbangnya anak beliau sendiri, Mukhriz Mahathir di Kedah, serta keengganan PKR untuk menerima usulan beliau.

Namun begitu setakat ini kelihatannya seperti Mat Sabu dan Guan Eng tetap percaya yang Dr Mahathir mampu melakukannya.

Keghairahan pimpinan Amanah dan DAP untuk mendapatkan kembali kuasa melalui jalan singkat telah mengaburi fikiran rasional mereka. 

Mereka kelihatannya benar-benar percaya pada spekulasi bahawa Dr Mahathir mampu membawa jumlah yang mencukupi ke parlimen untuk menjatuhkan Muhyiddin. 

Mereka terlupa bahawa jika Muhyiddin jatuh tak semestinya PH akan kembali berkuasa. 

Muhyiddin boleh sahaja menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen untuk diadakan pilihan raya lebih awal.

Ketika itu adakah mereka akan masih bersama Mahathir walau pun populariti Dr Mahathir dalam kalangan masyarakat Melayu sudah jatuh merudum? 

Amanah, DAP salah fokus

Jika sokongan terhadap Dr Mahathir masih menjadi pendirian Mat Sabu dan Guan Eng, maka mereka telah tersilap fokus. Plus yang di luar digendongnya, PKR yang di dalam PH dicicirkannya. 

Sedangkan kekuatan PH bergantung besar kepada sejauh mana kukuhnya kesepakatan bersama ketiga-tiga parti komponen yang membentuknya itu. 

Sama ada PH bersama Bersatu dan Warisan atau pun tidak, proses pengukuhan PH perlu menjadi fokus utama buat pimpinan Amanah, DAP dan juga PKR. 

Ini adalah kerana jalan kembali ke Putrajaya sama ada melalui jalan singkat atau jalan panjang memerlukan PH yang kukuh. Bukan yang runtuh. 

Justeru itu, Amanah dan DAP serta PKR perlu kembali ke meja rundingan untuk sama-sama berbincang bagi memperkukuhkan semula PH. 

Perkukuh dahulu yang di dalam, baru bergerak memeluk yang di luar. 

Jangan sampai kaca di luar digilap berkilat, permata di rumah dibiar berhabuk. – 29 Jun, 2020.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen