Amanah, DAP enggan terima Hamzah Zainuddin


DAP dan Amanah menegaskan mereka tidak dapat bekerjasama dengan Hamzah Zainuddin kerana menteri itu antara dalang yang menyebabkan Pakatan Harapan hilang kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2020.

DAP dan Amanah menolak sebarang usaha untuk menyertakan Setiausaha Agung baharu Bersatu, Hamzah Zainuddin dalam rancangan untuk mengambil alih Putrajaya semula.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua parti menegaskan mereka tidak dapat bekerjasama dengan Hamzah kerana menteri itu antara dalang yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa.

Amanah dan DAP juga menegaskan, mereka juga tidak menerima sebarang usaha yang menolak parti Warisan dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad.

“Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.

“Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip,” kata parti itu dalam kenyataan.

Langkah Sheraton merujuk kepada pertemuan para ahli Parlimen yang membawa kepada pembentukan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin Yassin pada Februari.

Kenyataan Amanah dan DAP muncul selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui mengadakan pertemuan dengan Hamzah “baru-baru ini” bagi membincangkan perkembangan semasa.

Ketua Whip PKR Johari Abdul pula mendedahkan, Anwar juga mengadakan siri pertemuan dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional termasuk Muhyiddin Yassin dan pemimpin kerajaan Sarawak.

Katanya, pertemuan dibuat selepas PKR bertekad menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk mengambil alih Putrajaya semula.

Kenyataan ditandatangani Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP M Kula Segaran hari ini seterusnya meminta PKR mengenal rakan dan lawan sebenar.

“Kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa kita ke arah kehancuran yang tidak terbendung,” kata mereka.

Mereka menegaskan, rakan mereka adalah parti asal “Pakatan Harapan Plus” yang mendapat undi dan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.

“Parti ini adalah Amanah, DAP, Parti Keadilan Rakyat, Warisan dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad dalam parti Bersatu.”

Hamzah serta Muhyiddin dan bekas perdana menteri Najib Razak pula merupakan pihak musuh dan kerjasama tidak boleh dibuat dengan kumpulan ini, kata mereka.

“(Mereka) dalang jahat merencana rampasan kuasa Langkah Sheraton demi membebaskan pemimpin Umno daripada pendakwaan rasuah dan memberi talian hayat kepada pentadbiran kleptokratik sebelum ini.

“(Tindakan ini) dibantah tegas oleh rakyat Malaysia dalam PRU ke-14. Justeru, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini.”

PH sehingga hari ini masih tidak dapat meleraikan kekusutan dalam gabungan itu selepas gagal menamakan calon perdana menteri bagi mengambil alih kerajaan.

Pada hari Sabtu, Dr Mahathir mendedahkan PH menyokong Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang juga ketua menteri Sabah sebagai calon perdana menteri.

Mengikut pelan itu, Anwar dinamakan calon timbalan perdana menteri pertama dan anak Dr Mahathir, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah sebagai calon timbalan perdana menteri kedua.

Ia dirancang dan dipersetujui di antara pemimpin Warisan, Amanah, DAP dan pengikut Dr Mahathir tanpa penyertaan pemimpin PKR.

PKR tetap berkeras agar Anwar dinamakan sebagai calon perdana menteri. – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen