Dr Mahathir sahkan Shafie Apdal calon PM pembangkang


Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dinamakan sebagai calon perdana menteri baharu untuk mengambil alih kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

AMANAH, DAP dan Warisan sudahpun bersetuju agar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dinamakan sebagai calon perdana menteri baharu untuk mengambil alih kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya pemimpin parti dan beberapa pemimpin Bersatu termasuk beliau juga bersetuju agar Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir menjadi timbalan perdana menteri.

Persetujuan dinyatakan dalam pertemuan tidak rasmi mereka melibatkan penyokongnya dan pemimpin ketiga-tiga parti pada Khamis lalu (25 Jun) di Rumah Tetamu Sabah di Kuala Lumpur, katanya.

PKR tidak menyertai pertemuan itu.

“Kami sebulat suara bersetuju Shafie Apdal dinamakan sebagai calon perdana menteri.

“Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita.

“Kami juga bersetuju mencadang Anwar Ibrahim sebagai calon timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon timbalan perdana menteri 2,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain Shafie, pertemuan itu disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin DAP termasuk Tan Kok Wai dan Lim Guan Eng.

Dua lagi pemimpin Bersatu yang menyertainya ialah Mukhriz dan Marzuki Yahya, kata Dr Mahathir.

Tambahnya, Shafie merupakan antara mangsa paling awal yang dikenakan tindakan selepas membangkitkan mengenai skandal 1MDB semasa menjadi menteri dalam Kabinet Najib Razak.

Seorang lagi yang bersama Shafie, Muhyiddin Yassin yang merupakan presiden Bersatu bagaimanapun kembali menyokong para kleptokrat, katanya.

“Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin. Kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kleptokrat yang dahulu menghukum dan menyingkirnya,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir percaya cadangan itu juga akan mengeratkan lagi hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Awal hari ini, Dr Mahathir juga dipetik menyuarakan cadangan itu dalam satu pertemuan bersama ahli akar umbi Bersatu di Putrajaya, semalam.

Dalam satu klip rakaman video pertemuan itu, Dr Mahathir berkata menyokong Shafie samalah seperti menyokong dirinya, iaitu melawan kleptokrat.

Dr Mahathir berharap ahli Parlimen yang tidak dapat menerima kerajaan pintu belakang Muhyiddin akan dapat menyokong usul undi tidak percaya yang akan dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan dan menyokong Shafie sebagai perdana menteri.

Dewan Rakyat ditetapkan bersidang pada 13 Julai.

Pakatan Harapan sehingga hari ini masih tidak dapat meleraikan kekusutan dalam gabungan itu selepas gagal menamakan calon perdana menteri bagi mengambil alih kerajaan.

Pemimpin DAP dan Amanah pada minggu lalu mendedahkan Anwar tidak berjaya mendapat sokongan daripada Warisan dan GPS untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Susulan itu timbul saranan agar Dr Mahathir dinamakan semula sebagai calon perdana menteri semula dan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa enam bulan.

PKR enggan berganjak daripada pendirian agar Anwar dinamakan sebagai perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.

Parti itu juga tidak yakin Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas tempoh enam bulan, sekiranya berjaya merampas Putrajaya semula. – 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen