KERAJAAN dijangka akan umum bantuan kewangan untuk pemandu bas sekolah, yang kebanyakannya hilang pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata sumber Kementerian Pengangkutan.
Ini memandangkan pemandu bas sekolah berkata mereka menantikan kementerian menunaikan janji untuk memberi bantuan bagi menyelenggara bas selepas tiga bulan tiada pendapatan.
Pengarah Persatuan Pemandu Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Ahmad Fauzi Murad berkata awal bulan lalu persatuan itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, yang berjanji kerajaan akan membantu mereka.
“Kami berjumpa Wee dan beritahu masalah yang pemandu bas sekolah hadapi.
“Semasa itu kami beritahu Wee pemandu perlukan antara RM5,000 hingga RM6,000 untuk beroperasi semula.
“Beliau tak janjikan jumlah yang khusus tetapi bantuan atau sedikit pampasan akan diumum hujung Mei, sekarang ini dah nak masuk Julai dan sampai sekarang kami tak dengar apa-apa berita,” Ahmad Fauzi memberitahu The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan bantuan untuk pemandu bas ini akan dimuktamadkan segera kerana perkara tersebut telah dibincangkan sejak fasa pertama PKP, ketika Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membangkitkan masalah yang dihadapi pemandu bas dalam pelbagai sektor termasuk bas sekolah kepada kementerian.
Namun, bantuan hanya diberi kepada pemandu bas sekolah yang berdaftar dengan APAD.
Ketika dihubungi, Wee berkata perkara tersebut sekali lagi dibincangkan pada satu perjumpaan minggu lalu, yang juga disertai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada pertemuan itu juga dimaklumkan bahawa terdapat 15,000 pengendali bas sekolah yang sah atau berdaftar, yang mana mungkin dua atau tiga kali ganda jika dicampur dengan pemandu yang tidak berdaftar.
“Kami masih menunggu Kementerian Pengangkutan selesaikan beberapa perkara,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.

PBSM mewakili 400 pemandu bas sekolah dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang, Tawau dan Selangor.
Ahmad Fauzi berkata ramai pemandu hilang punca pendapatan ekoran sekolah ditutup sejak PKP bermula 18 Mac. Hanya murid Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam sahaja yang menyambung persekolah mulai Khamis lalu.
“Walaupun ada antara pemandu buat kerja sampingan seperti menjual kuih atau bekerja di syarikat penghantaran, ramai yang sehingga ke hari ini masih tidak bekerja,” katanya.
Menurut Ahmad Fauzi, pemandu memerlukan bantuan untuk terus bertahan dan menyelenggaran bas sebagai persiapan apabila sekolah dibuka kelak.
“Kami perlu tukar tayar, minyak dan bawa bas ke Puspakom untuk diperiksa.”
Ramai ibu bapa murid katanya yang baik hati membayar yuran semasa PKP.
“Ada ibu bapa yang bayar, tetapi tidaklah penuh kerana mereka pun ada masalah juga.”
Beberapa pemandu bas sekolah juga tidak menerima Bantuan Prihatin, tambah beliau. – 29 Jun, 2020.
Komen