MTUC selar cadangan KDN majikan dibenar ambil Pati bekerja


Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata cadangan KDN bertentangan dengan usaha Kementerian Sumber Manusia untuk membeku pengambilan pekerja asing dan mengutamakan rakyat tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyelar cadangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin iaitu majikan mengupah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata cadangan tersebut bertentangan dengan usaha Kementerian Sumber Manusia untuk membeku pengambilan pekerja asing dan mengutamakan rakyat tempatan.

“Dasar kerajaan sepatutnya menumpu kepada mengurangkan jutaan pekerja asing yang masuk ke negara ini secara haram.

“Secara tidak langsung mengurangkan aliran keluar wang negara dan mendorong majikan menawarkan upah yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hamzah semalam yang mencadangkan majikan dibenarkan mengupah Pati yang ditahan di depoh tahanan Imigresen.

Hamzah berkata cadangan itu akan mengurangkan jumlah Pati di depoh tahanan dan sekaligus kos bebanan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan umum pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dan mengurangkan pengangguran.

Kerajaan katanya, akan menilai situasi pada hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan kebenaran pengambilan pekerja asing. 

Menurut jumlah terkini, kadar pengangguran adalah kira-kira 5.5% atau 860,000, kata menteri itu pada sidang media semalam. – 23 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen