Usah berharap Pakatan Plus jadi kerajaan tahun ini, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Kemungkinan Pakatan Plus dapat kembali berkuasa sama ada melalui satu lagi pengkhianatan - seperti apa yang berlaku pada akhir Februari - atau melalui kemungkinan pilihan raya tergempar pada akhir tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

PENGUNDI tidak perlu berharap Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya dapat merampas kuasa persekutuan, melainkan sehingga pertengahan 2022 apabila pilihan raya umum diadakan, kata penganalisis dan individu dalaman gabungan itu.

Kemungkinan “Pakatan Plus” dapat kembali berkuasa sama ada melalui satu lagi pengkhianatan - seperti apa yang berlaku pada akhir Februari - atau melalui kemungkinan pilihan raya tergempar pada akhir tahun ini.

Puncanya adalah kerana kecurigaan yang tidak dapat dielakkan antara dua personaliti dominan pembangkang - bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tidak mungkin parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah, dan sekutunya Parti Warisan Sabah, akan dapat mencapai keputusan sama ada Dr Mahathir atau Anwar yang layak menjadi perdana menteri.

Peluang perdamaian antara kedua-dua tokoh itu masih kecil, berikutan hubungan yang rapuh selama 22 bulan Pakatan berkuasa dari Mei 2018 hingga Februari 2019.

Difahamkan, jika Anwar bersetuju untuk memberi laluan kepada Dr Mahathir, partinya, PKR akan menyaksikan satu lagi pengkhianatan di kalangan ahli Parlimen, kali ini daripada mereka yang tidak mahu menerima Dr Mahathir.

Oleh kerana itu, Pakatan Plus berkemungkinan kekal sebagai pembangkang sehingga pilihan raya umum berikutnya yang dijadualkan pada tahun 2023, kata penganalisis.

“PKR sudah bersedia untuk menjadi parti pembangkang yang berkesan sekali lagi dan ambil masa kita, daripada harus menyaksikan drama mempercayai Dr Mahathir lagi sekali,” kata seorang pemimpin tertinggi PKR yang tidak mahu namanya disiarkan.

Masa depan Pakatan Plus masih mendung, kata saintis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Anwar dan seluruh PKR sekarang tidak dapat menerima Dr Mahathir dan sebaliknya. Satu-satunya jalan penyelesaian ialah Dr Mahathir memberi jalan keluar kepada Anwar tetapi nampaknya tidak mungkin berlaku,” kata Mazlan dari Fakulti Teknologi dan Informasi Razak.

Sejak digulingkan dari tampuk kekuasaan pada akhir Februari, Pakatan Plus telah berusaha untuk menyatukan pakatan lain bagi merampas semula Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN).

Rancangannya adalah untuk mengumpulkan lebih dari 112 ahli Parlimen dan menggerakkan gerakan tidak percaya terhadap perdana menteri PN, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Namun, rundingan berhubung pakatan politik tersebut menemui jalan buntu kerana mereka tidak dapat mencapai kata putus berhubung siapa yang akan menjadi calon perdana menteri mereka.

Pakatan Plus mendapat sokongan 107 ahli Parlimen termasuk 42 dari DAP, 38 dari PKR, 11 dari Amanah, sembilan dari Warisan dan satu dari Upko. Dr Mahathir mempunyai enam ahli Parlimen yang setia kepadanya.

Selain PKR, semua parti Pakatan Plus telah menerima Dr Mahathir.

“Tidak ada jalan Pakatan Plus tanpa perdamaian antara Dr Mahathir dan Anwar,” kata Mazlan.

“Juga tidak ada calon alternatif untuk perdana menteri karena tidak ada seorang pun dalam parti yang setaraf dengan Anwar dan Dr Mahathir.”

Seorang lagi saintis politik Prof James Chin, berkata bahawa PH memerlukan kedua-dua tokoh tersebut untuk berdepan Muhyiddin Yassin dari Perikatan Nasional.

“PH akan menyelesaikan masalah perdana menteri mereka tetapi ia adalah persoalan masa,” kata Chin, dari Universiti Tasmania.

“Tidak mungkin akan ada calon alternatif ketika ini kerana memerlukan Dr Mahathir atau Anwar bagi menentang Muhyiddin dan Najib Razak,” kata Chin. – 22 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen